amree04/11/2026 - 10:00 NORAINI Ahmad ketika berucap pada Program Salam Agrikomoditi MADANI Melaka. Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 4 Nov — Melaka bakal memiliki stesen penyelidikan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang pertama di negeri itu menerusi pembangunan kemudahan seluas 77.92 hektar di Sungai Rambai, Jasin, bagi memperkukuh penyelidikan, latihan dan pembangunan sektor agrikomoditi.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, stesen berkenaan akan dilengkapi ladang model, tapak semaian, makmal penyelidikan serta pusat latihan untuk pelajar, institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pemain industri.
Menurut beliau, kemudahan tersebut turut menempatkan pegawai pengembangan MPOB bagi memberikan khidmat dan bantuan lebih dekat kepada pekebun kecil, selain membuka ruang kerjasama penyelidikan serta latihan dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Jasin yang terletak berhampiran.
"Kerajaan Melaka sudah meluluskan tanah berkeluasan 77.92 hektar bagi pembangunan stesen berkenaan kepada MPOB, mencerminkan komitmen negeri ini dalam memperkukuh sektor agrikomoditi tempatan," jelasnya berucap pada Program Salam Agrikomoditi MADANI Melaka di Dewan MBMB Hang Lekir.

Acara itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Noraini berkata, Melaka mempunyai 7,687 pekebun kecil dengan keluasan tanaman 15,278 hektar setakat Jun 2026, yang memerlukan sokongan berterusan bagi memastikan kebajikan mereka terus terpelihara.
Jelas beliau, menerusi program berkenaan, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) turut membawa kaunter perkhidmatan bergerak bagi membolehkan pekebun dapat menyemak status permohonan mereka, selain memperbaharui Permit Urus Niaga Getah (PAT-G) serta mendapatkan maklumat bantuan.
Lebih 144,000 pekebun kecil di bawah kementerian itu sudah diluluskan menerima bantuan BUDI Agri-Komoditi. Dalam usaha memperkukuh tenaga kerja tempatan, KPK turut meneliti kerjasama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) melalui Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN).
"Langkah tersebut dijangka mampu menyediakan latihan kemahiran dalam bidang komoditi kepada klien pusat berkenaan, sekali gus membuka banyak peluang pekerjaan baharu dan menawarkan pendapatan selepas mereka kembali ke pangkuan masyarakat kelak," tambah Noraini.

Ujar beliau, inisiatif itu bukan sahaja membantu peserta membina kehidupan baharu, malah berpotensi menampung keperluan tenaga kerja tempatan dalam sektor perladangan. Pada masa sama, kementerian tersebut juga akan memperkukuh peranan Skuad Agrikomoditi di peringkat negeri.
Ia sebagai penghubung antara KPK dengan komuniti pekebun kecil. Skuad itu merangkumi veteran tentera, pekebun kecil berpengalaman, wanita dan mahasiswa, dengan misi mengubah persepsi sektor agrikomoditi daripada pekerjaan berbahaya, kotor dan sukar kepada bidang yang menekankan kemahiran, kelestarian dan keselamatan.
Beliau berkata, Program Salam Agrikomoditi MADANI merupakan usaha kementerian turun padang untuk mendengar isu pekebun kecil, menyampaikan perkhidmatan serta memastikan setiap aduan disalurkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan susulan, selain memperluas peluang ekonomi dan kemahiran dalam sektor agrikomoditi. - DagangNews.com






