KUALA LUMPUR - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap keputusan terbaik dapat dicapai berhubung permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah dalam mesyuarat dijangka dilakukan Lembaga Pengampunan pada Jumaat.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, kuasa berhubung perkara terbabit adalah hak mutlak Yang di-Pertuan Agong
Justeru, beliau yakin budi bicara serta kebijaksanaan Tuanku akan menentukan keputusan utama.
“Kita mengharapkan yang terbaik untuk pertemuan ini dan kerana kuasanya adalah hak mutlak Ketua Juri, Yang Maha Mulia Tuanku.
"Saya yakin budi bicara dan kebijaksanaan Tuanku akan menentukan terhadap keputusan utama dan hak mutlak Tuanku untuk diumumkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran buku 13 Propaganda Perang Sun Tzu sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Khamis.
Lembaga Pengampunan dijangka bermesyuarat pada Jumaat dengan salah satu agenda penting dipercayai membincangkan permohonan Najib untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.
Isu tahanan rumah Najib sebelum ini melalui proses perundangan panjang susulan dakwaan kewujudan Titah Adendum yang membolehkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu menjalani baki hukuman di kediamannya.






