Chin Hin jual Metex Steel RM70 juta, jangka raih untung RM6.1 juta

01/08/2025 - 09:56
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 1 Ogos – Chin Hin Group Bhd melupuskan pegangan dalam anak syarikatnya, Metex Steel Sdn Bhd pada harga RM70 juta secara tunai kepada EC Excel Wire Sdn Bhd, sebagai sebahagian daripada strategi penyusunan semula portfolio perniagaan kumpulan.
Metex Steel yang terlibat dalam pengeluaran mesh keluli kimpalan dan produk dawai, dijangka menyumbang keuntungan pelupusan sebanyak RM6.1 juta kepada Chin Hin.
EC Excel Wire merupakan syarikat milik penuh individu bernama Ng Heng Hong dan menjalankan perniagaan perdagangan perkakasan, pembuatan dawai mesh serta perkhidmatan logistik dan pengangkutan.
Chin Hin berkata, pelupusan ini membuka peluang untuk menjana tunai daripada pelaburan dalam Metex Steel, sambil meningkatkan kecairan serta memperkukuh kedudukan aliran tunai kumpulan secara keseluruhan.
“Hasil daripada urus niaga ini akan digunakan bagi menyokong keperluan modal kerja, pengembangan perniagaan dan usaha niaga baharu yang berpotensi memberikan pulangan lebih baik,” kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Urus niaga tersebut dijangka dimuktamadkan menjelang suku keempat tahun ini.- DagangNews.com
standard
