
PELAKON dan penyanyi Bella Astillah baru-baru ini sempat berkongsi nasihat rumah tangga yang diterima daripada Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohd Ali.
Dalam pertemuan selama dua jam tiga hari sebelum meninggal dunia, Dr Hasmah sempat menitipkan agar Bella sentiasa berada di sisi suami.
"Antara pesanannya, saya kena kuat dan sentiasa berada di sisi suami. Menjadi wanita yang lembut, tapi kuat.
"Walaupun perjalanan ini tidak mudah, selagi ada kepercayaan dan hormat pada suami, insya-ALLAH ia akan berkekalan," katanya.
Dalam masa yang sama, Syed Saddiq juga melihat Allahyarham amat ceria dan berkongsi kisah cinta dan kepentingan bertolak ansur serta sentiasa jalan tengah dalam rumah tangga.
Kongsinya, Dr Hasmah menekankan keutamaan pendidikan sebelum melangkah ke alam perkahwinan.
Ahli Parlimen Muar itu juga menambah sudah mula membaca pelbagai buku berkaitan keibubapaan sejak akhir tahun lalu sebagai persediaan menjalankan tanggungjawab sebagai bapa kepada dua cahaya mata Bella.

Dia juga memuji cara tunangnya mendidik dua cahaya mata menjadi bijak dan bersopan santun.
"Saya bertuah kerana tanggungjawab dan amanah itu dilaksanakan dengan begitu baik oleh ibunya.
"Saya hanya sekadar pelengkap dan akan cuba buat yang terbaik untuk laksanakan amanah ini," katanya.
Malah, selepas berkahwin, Syed Saddiq tidak akan meminta Bella memperlahankan kerjaya sekali gus tidak akan menyekat pintu rezeki bakal isterinya itu.
"Ya, itu memang sudah dibincangkan dari awal. Proses perkahwinan ini mengajar kita untuk ada persetujuan awal mengenai kerjaya dan rumah tangga.
"Tidak adil untuk saya sebagai suami menyekat atau memadamkan kerjaya profesional Bella," katanya.
Sekadar info, Bella dan Syed Saddiq yang telah bertunang pada 28 Mac lalu menjemput orang ramai menghadiri majlis perkahwinan mereka yang dinamakan Kenduri Rakyat pada 25 Oktober di Muar, Johor diikuti Kota Kinabalu, Sabah pada 31 Oktober.
Difahamkan, puluhan ribu kilogram bahan asas bernilai sekurang-kurangnya RM300,000 akan diedarkan pada kenduri berkenaan.






