Permainan retro yang diperkenalkan sejak era 1980an ke 1990an kini dilihat menjadi semakin popular kembali. Terkini, Di China, sebuah konsol permainan mudah-alih yang boleh menggerakkan permainan-permainan retro ini melalui emulasi ROM telah diperkenalkan dibawah nama Lenovo G02.

Konsol mudah-alih ini hadir dengan paparan skrin IPS bersaiz 4.5 inci dengan resolusi 1024×768 dan dikuasakan oleh cip pemprosesan Rockchip RK3326 dengan 1GB memori dan 4GB storan yang boleh ditambah melalui penggunaan kad MicroSD.
Konsol ini hadir dengan sistem operasi Linux, dan menyokong pelbagai jenis perisian pelagak (emulator) yang boleh digunakan untuk memainkan pelbagai jenis perisian permainan retro.

Menariknya, walaupun ia hadir dengan penjenamaan Lenovo, konsol ini tidak direka ataupun dihasilkan oleh syarikat gergasi perkomputeran tersebut. Ia adalah sebuah produk label putih yang telah menerima kebenaran untuk menggunakan penjenamaan syarikat tersebut pada produk ini. Dalam pada itu, laporan-laporan juga telah mengatakan bahawa produk ini hanya diberi kebenaran untuk dijual dengan penjenamaan Lenovo di pasaran China sahaja.
Walaupun begitu, konsol ini dijual di Ali Express, dan memperlihatkan tanda harga yang agak murah untuk mereka yang mahu mencari sebuah konsol mudah-alih yang boleh menggerakkan permainan-permainan retro.




