Lenovo baru-baru ini telah memperkenalkan komputer riba gaming terbaru mereka iaitu Lenovo Legion 9000P yang terdiri daripada dua penawaran model, iaitu Lenovo Legion Y9000P yang dikuasakan cip pemprosesan Intel dan juga Lenovo Legion R9000P yang dikuasakan cip pemprosesan AMD.
Akan tetapi, apa yang benar-benar menarik mengenai siri komputer riba ini ialah paparan skrin 16 inci yang digunakan, yang tampil dengan penggunaan panel OLED IJP (Ink Jet Printed) terbaru di pasaran yang dihasilkan oleh syarikat pengeluar panel paparan TCL China Star Optoelectronics Technology (TCL CSOT).

Seperti yang diperlihatkan pada namanya, panel OLED IJP ini menggunakan proses pencetakan untuk mencetak LED merah, hijau dan biru (RGB) pada permukaan panel secara terus, berbanding dengan cara “tradisional” yang menyembur bahan tersebut menggunakan teknik stensil. Proses IJP menyemburkan bahan tersebut secara terus kepada permukaan panel, mengurangkan pembaziran bahan tersebut sebanyak 70 peratus.

Dalam pada itu, susunan jaluran RGB secara selari berbanding dalam bentuk berlian ataupun segitiga menjanjikan olahan warna dan teks bersaiz kecil yang jauh lebih tajam dan membolehkan paparan ini jauh lebih cerah tanpa memerlukan sumber cahaya yang lebih berkuasa.
Dari segi spesifikasi paparan lain, skrin ini juga boleh hadir dengan resolusi tinggi dengan kadar segar semula 240Hz dan boleh mengolah 99 peratus daripada gamut warna DCI-P3. TCL CSOT mengesahkan bahawa paparan ini secara teknikalnya sudahpun diperkenalkan sejak tahun 2024 di China, tetapi kini sedia digunakan untuk peranti-peranti komputer riba dab paparan-paparan lain di luar negara tersebut.
Sumber: VideoCardz




