Beberapa hari lalu kami telah melaporkan tentang penawaran komputer riba Lenovo ThinkPad E14 Gen 8, komputer riba bersaiz 14 inci yang dikemaskini dengan pilihan cip pemprosesan Intel Wildcat Lake yang memberi pengguna pilihan komputer riba ThinkPad yang lebih mampu milik.

Terkini, Lenovo juga telah mengemaskini penawaran satu lagi model komputer riba, iaitu Lenovo ThinkPad E16 Gen 4 dengan pilihan cip pemprosesan yang sama untuk pasaran tempatan. Perbezaan paling ketara dengan model ini ialah ia menawarkan paparan skrin IPS bersaiz 16 inci dalam dua pilihan, satu dengan paparan tanpa sentuh dengan kadar segar semula 60Hz ataupun paparan sesentuh dengan kadar segar semula 120Hz yang mana kedua-duanya hadir dengan resolusi 1920×1200 yang sama.

Sama seperti komputer riba ThinkPad E14 sebelum ini, model ThinkPad E16 Gen 4 ini hadir dengan tiga pilihan CPU, termasuklah Intel Core 3 304, Intel Core 5 315, Intel Core 5 320 dan Intel Core 7 350 dengan penawaran memori DDR5 dari 8GB sehingga 32GB dan storan SSD PCIe 4.0 dari 256GB sehinggalah 1TB.

Dari segi pilihan palam, komputer riba ini dimuatkan dengan dua palam Thunderbolt 4, dua palam USB Type-A (1x 10Gbps, 1x 5Gbps), palam HDMI, palam Ethernet RJ-45 untuk sambungan internet berwayar dan satu palam audio 3.5mm. Konfigurasi bateri juga sama, dimana komputer riba ini hadir dengan pilihan bateri 48WHr ataupun 64WHr bergantung kepada keperluan pengguna.
Lenovo ThinkPad E16 Gen 4 sudahpun mula ditawarkan di pasaran Malaysia dengan konfigurasi permulaan Intel Core 5 320, 8GB memori, 256GB storan SSD, paparan bukan sesentuh dan bateri 48WHr pada harga RM6352. Konfigurasi ini boleh diubahsuai melalui laman produk Lenovo Malaysia mengikut keperluan dan kemampuan anda.
Sumber: Lenovo Malaysia






