Intel telah memperkenalkan siri cip pemprosesan komputer riba terbaru mereka, Intel Core Ultra 200V, dikenali sebagai Intel Lunar Lake sebelum ini. Cip pemprosesan ini dilihat sebagai percubaan pertama dalam syarikat tersebut untuk mencabar cip pemprosesan Apple siri M yang diperkenalkan beberapa tahun lalu.

Kami kini berkesempatan untuk menguji dan membuat ulasan mengenai komputer riba yang dikuasakan oleh cip pemprosesan terbaru ini dan melihat sendiri bagaimanakah penawaran terbaru daripada Intel ini akan mengubah persepsi anda tentang komputer-komputer riba nipis dan ringan.
Ada Apa Dengan Lunar Lake?
Siri cip Intel Core Ultra 200V merupakan satu anjakan paradigma untuk Intel kerana beberapa perkara. Pertama ialah rekaan cip serba baru walaupun apabila dibandingkan dengan Meteor Lake. Dimana Meteor Lake memperkenalkan dua jenis teras kecekapan E-core dan teras kecekapan berkuasa rendah, Lunar Lake menggabungkan kedua-dua teras ini kepada satu jenis teras E-core sahaja.

Dalam pada itu, ciri Hyperthreading yang diperkenalkan oleh Intel juga kini tidak lagi hadir, dan semua model CPU dalam siri ini hadir dengan lapan jumlah teras yang terdiri daripada empat teras prestasi (Performance cores) dan empat teras kecekapan (Efficiency cores).
Tetapi apa yang paling menarik ialah untuk julung-julung kalinya, cip pemprosesan Intel kini tiba dengan modul memori LPDDR5X terbina didalamnya, dengan pilihan sebanyak 32GB dan 16GB bergantung kepada model cip pemprosesan.

Walaupun begitu, senireka cip pemprosesan Lunar Lake tidak jauh berbeza berbanding dengan Meteor Lake, dimana mereka mengekalkan penggunaan teras-teras pemproses khas untuk penggunaan paparan (yang tidak menggunakan GPU terbina), bateri, palam-palam I/O dan tugasan-tugasan ringan seperti memainkan video.
Semua ini dilakukan untuk mempercekapkan penggunaan bateri komputer riba, yang kini boleh hadir dengan saiz yang lebih besar kerana saiz papan induk komputer riba yang semakin kecil. Ia tidak mengejutkan untuk melihat sebuah komputer riba dengan saiz 14 inci untuk menggunakan bateri melangkaui 70-80Whr kelak di masa hadapan.

Cip pemprosesan Intel Core Ultra 200V ini juga merumahkan cip pemprosesan grafik terbaru daripada Intel, iaitu Intel Battlemage, yang hanya akan diperlihatkan pada cip pemprosesan Lunar Lake. Menariknya, cip pemprosesan grafik ini tidak akan digunakan pada cip pemprosesan Arrow Lake-S yang juga akan dilancarkan tidak lama lagi.
Intel mengatakan bahawa dengan cip pemprosesan grafik ini, pengguna komputer riba boleh menggerakkan sejumlah permainan-permainan komputer moden pada resolusi HD ataupun Full HD pada tetapan pertengahan, sesuatu yang saya boleh katakan adalah baru untuk komputer riba bersaiz nipis dan ringan.

Tetapi saya akan menerangkan lebih lanjut mengenai perkara-perkara ini dalam perenggan-perenggan seterusnya jadi mari kita lihat apakah yang ditawarkan oleh komputer riba ini.
Spesifikasi Dan Rekaan
Nama Model ASUS Zenbook S 14 (UX5406) Saiz Paparan 14″, 3K (2880 x 1800) Lumina OLED 16:10, 120Hz,
HDR True Black 600, Bukan SesentuhPemproses Intel Core Ultra 7 258V 3.3GHz
(8 teras, 8 Bebenang)
Intel AI Boost 47 AI TOPSCip Grafik Intel Arc Graphics 140V (1.95GHz) RAM 32GB LPDDR5X Muatan Dalaman 1TB M.2 NVMe PCIe 4.0 SSD Kamera Full HD Palam I/O 1x USB 3.2 Gen 1 Type-A
2x USB 4.0 Thunderbolt 4 Type-C DP/PD
1x HDMI 2.1 TMDS
1x 3.5mmSistem Operasi Windows 11 Home Sekuriti Imbasan wajah dengan Windows Hello Bateri 72WHr
Pengecas 65WHarga RM6,999
Komputer riba yang dihantar kepada kami oleh Intel ialah ASUS Zenbook S 14 terbaru yang dilengkapi dengan cip pemprosesan Intel Core Ultra 7 258V. Cip pemprosesan ini hadir dengan jumlah lapan teras, empat terdiri daripada teras P-Core dan empat lagi adalah teras E-Core.

Seperti yang saya katakan, kesemua model cip pemprosesan Lunar Lake mempunyai jumlah teras yang sama, dan apa yang membezakannya hanyalah kelajuan CPU dan penawaran RAM. Bercakap mengenai RAM, Intel Core Ultra 7 265V ini dilengkapi dengan 32GB memori LPDDR5X yang terbina terus kepada cip pemprosesan. Dari segi storan pula, komputer riba ini dilengkapi dengan storan SSD PCIe 4.0 bersaiz 512GB.
Komputer riba ini juga dilengkapi dengan paparan skrin OLED Lumina bersaiz 14 inci yang hadir dengan resolusi 2880×1600 dengan nisbah paparan 16:10 dengan kadar segar semula 120Hz. Ia juga dilengkapi dengan bateri bersaiz 72Wh yang boleh dicas menggunakan pengecasan 65W sahaja.

Dari segi pilihan palam, ASUS Zenbook S 14 ini tampil dengan dua palam Thunderbolt 4 Type-C, satu palam USB 3.2 Type-A dan satu palam HDMI 2.1 TMDS. Secara lazimnya komputer riba sebelum ini akan tampil dengan satu palam Thunderbolt 4 dan satu palam USB 3.2 Type-C, tetapi Intel telah mengatakan bahawa untuk komputer-komputer riba yang dikuasakan cip pemprosesan Lunar Lake, ia akan hadir dengan dua palam Thunderbolt 4 secara terbina.

Perkara ini dilihat membolehkan pengguna untuk mengecas komputer riba secara pantas, dan masih lagi menggunakan satu lagi palam untuk tujuan penghantaran data pantas dari storan luaran ke komputer dan sebaliknya tanpa masalah.
Rekaan komputer riba ASUS Zenbook S 14 ini juga sangatlah nipis dan ringan. Untuk model terbaru ini, mereka telah memperkenalkan sebuah aloi baru yang dinamakan ‘Ceraluminum‘ yang menggabungkan logam aluminum dan juga seramik yang membolehkan komputer riba ini mempunyai berat seringan 1.2KG sahaja. Penggunaan bahan ini juga membolehkan rekaan komputer riba ini hadir dengan rekaan senipis 1.29cm, menjadikannya sangat mudah untuk dibawa kemana-mana, khususnya jika anda seorang yang selalu bekerja di luar pejabat.
Pengalaman Pengguna
Jujur saya katakan dari segi tujuan produktiviti, komputer riba ASUS Zenbook S 14 ini adalah komputer yang terdekat ke komputer riba Apple MacBook Air dari beberapa aspek, termasuklah rekaan, produktiviti dan jangka hayat bateri.
Saya tidak boleh tekankan dengan cukup betapa mudahnya komputer riba ini untuk dibawa kemana-mana. Saya menggunakan komputer riba ini secara harian untuk beberapa minggu, tidak kira di pejabat, rumah ataupun apabila saya keluar, saya akan membawa komputer riba ini bersama-sama saya tidak kira destinasi saya.

Dengan tetapan prestasi lalai, dan merendahkan nilai kecerahan paparan skrin ini ke 50%, saya tidak perlu risau tentang isu pengecasan komputer riba ini untuk kira-kira dua hari, bergantung kepada corak penggunaan saya. Untuk tujuan produktiviti biasa seperti menulis artikel, menyunting gambar, menonton video Youtube ataupun Netflix dan seakan dengannya, komputer riba ini boleh melakukannya tanpa sebarang masalah yang diperlihatkan pada komputer lain, seperti isu micro-stutter dan sebagainya menggunakan kuasa bateri.
Dan bagi corak penggunaan saya, secara lazimnya saya boleh menggunakan komputer riba ini dengan pengecasan penuh selama dua hari berturut-turut (dengan sekitar 6 jam penggunaan sehari) menggunakan kuasa bateri tanpa memerlukan pengecasan. Dan ya, ini adalah dengan rangkaian WiFi diaktifkan dan digunakan untuk tujuan melayari internet.

Dengan CPU Lunar Lake, Intel juga memperlihatkan cip pemprosesan grafik terbaru mereka, Intel Arc Battlemage. Dengan cip grafik ini, gaming pada komputer riba nipis dan ringan bukanlah sesuatu yang mustahil lagi.
Ya, ia mungkin masih sukar untuk menggerakkan permainan pada resolusi dan kadar segar semula yang tinggi, tetapi jika anda seperti saya, mahu memainkan permainan-permainan yang tidak begitu berat, seperti Genshin Impact, Honkai Star Rail, Diablo IV, DoTA, League of Legends ataupun Wuthering Waves, cip pemprosesan Intel Core Ultra 7 258V ini mampu melakukannya bergantung kepada tetapan grafik permainan anda.



Untuk permainan seperti Genshin Impact dan Honkai Star Rail khususnya, komputer riba ini boleh menggerakkannya pada kadar segar semula 60FPS tanpa sebarang masalah. Untuk Diablo IV pula, saya dapati bahawa pada resolusi Full HD dan tetapan grafik pertengahan, ia boleh dimainkan pada resolusi Full HD dengan kadar segar semula sekitar 40-50FPS juga tanpa begitu banyak masalah.
Cuma, sama seperti semua komputer riba lain, saranan kami ialah untuk anda memastikan bahawa komputer riba ini perlu dipautkan kepada kabel pengecasan USB, kerana sudah pastinya kuasa bateri tidak akan dapat menampung sesi gaming yang begitu lama.
Gimik Menarik Dan Berguna
Bersama-sama dengan komputer riba ini ialah beberapa ciri serba baru yang menarik dan pada pendapat saya, walaupun saya rasakan bahawa ia adalah seperti sebuah gimik, ia mempunyai kegunaannya sendiri. Pertama ialah berkenaan kamera Full HD pada komputer riba ini.

Walaupun komputer riba ini hadir dengan sokongan untuk Windows Hello, sayangnya ia hanya boleh menggunakan kamera webcam ini sebagai cara untuk melog masuk kedalam komputer riba. Apa yang menarik disini ialah ia hadir dengan satu ciri sekuriti dimana sekiranya kamera ini tidak dapat mengimbas muka anda apabila anda tidak mengunci ataupun melog keluar daripada akaun anda, komputer riba ini akan dikunci dengan sendirinya selepas sekitar 1 minit.
Perkara ini sedikit sebanyak dapat membantu anda mengurangkan atau mengelakkan kebarangkalian maklumat dapat dicuri dari komputer riba anda, ataupun mengelakkan daripada data didalam komputer riba anda disabotaj.

Kedua ialah pad sesentuh pada ASUS Zenbook S 14 ini yang bukan sahaja besar, tetapi juga boleh digunakan sebagai pad kawalan komputer riba. Diantara fungsi yang boleh dikawal ialah nilai kecerahan paparan, kelantangan audio dan menatal garis masa video, yang boleh dilakukan tidak kira anda menonton video menggunakan aplikasi video terbina, ataupun perkhidmatan penstriman seperti YouTube dan Netflix.
Mengemaskini perisian komputer riba anda juga, khususnya fail BIOS dan pelbagai kemaskini keselamatan yang lain kini boleh dilakukan secara terus melalui perisian MyASUS. Sebelum ini, jika anda mahu mengemaskini perisian seperti BIOS ataupun melakukan sebarang kemaskini komponen komputer riba, ia perlu dilakukan secara manual.

Dengan MyASUS, kesemua tugasan tersebut boleh dikenalpasti dengan jauh lebih mudah, dan dimuat-turun dengan cepat, tanpa anda perlu ke laman web ASUS untuk mencari perisian kemaskini yang terkini.
Satu lagi ciri baru yang diperkenalkan oleh Intel dengan pelancaran komputer riba Lunar Lake ini ialah teknologi Thunderbolt Share. Secara ringkasnya, teknologi ini membolehkan dua buah komputer riba yang mempunyai sambungan Thunderbolt untuk berkongsi data dan juga storan diantara satu sama lain menggunakan satu kabel sahaja.

Kami berkesempatan mencuba teknologi ini sewaktu acara IFA, dan dengan menggunakan kabel USB4 yang menyokong sambungan Thunderbolt 4, pengguna boleh berkongsi paparan dan menghantar fail diantara kedua-dua komputer ini dengan cepat dan mudah.
Pihak Intel mengesahkan kepada kami bahawa dengan pelancaran komputer riba Intel Lunar Lake, ciri Thunderbolt Sharing akan dipasarkan secara lebih meluas apabila lebih banyak komputer riba tersebut dilancarkan kelak.
Ujian Penanda-Aras
Ini adalah ujian-ujian penanda-aras yang kami gunakan untuk sedikit sebanyak menguji kemampuan cip pemprosesan Intel Core Ultra 258V pada komputer riba ASUS Zenbook S 14 ini.
CineBench R23 (Single Core)

CineBench R23 (Multi Core)

PCMark 10

GeekBench

3DMark (Steel Nomad Light)

3DMark (Wild Life Extreme)

CrystalDiskMark

Bateri
Isu terbesar untuk kebanyakan komputer riba kelas X86, walaupun yang hadir dengan rekaan serba nipis dan ringan pada pendapat saya ialah berkenaan jangka-hayat bateri. Dengan ASUS Zenbook S 14, khususnya yang dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel Core Ultra 258V, saya boleh akhirnya katakan bahawa komputer riba seperti Apple MacBook Air kini mempunyai pencabar dalam arena bateri.
Sepanjang saya menggunakan komputer riba ini, saya boleh katakan bahawa ini adalah pertama kali sebuah komputer riba gabungan Intel dan Microsoft Windows hadir dengan jangka-hayat bateri yang boleh bertahan selama 12-13 jam penggunaan secara konsisten.

Saya juga akan mengatakan bahawa jangka-hayat bateri yang panjang ini memerlukan anda untuk membuat beberapa perubahan kecil kepada corak penggunaan komputer riba anda. Untuk saya, oleh kerana komputer riba Zenbook S 14 ini hadir dengan paparan skrin OLED yang mempunyai nilai kecerahan setinggi 400 nit, saya hanya perlu menetapkan kecerahan skrin pada tahap 40-50 peratus untuk mendapatkan imbangan terbaik kecerahan paparan dan juga jangka-hayat bateri yang panjang.
Corak penggunaan saya bercampur-aduk. Saya akan menggunakan komputer riba ini sebagai mesin menyiapkan tugasan harian saya, dan juga akan menggunakannya untuk menonton video sewaktu masa makan tengahari untuk seketika, dan walaupun begitu, dari 10 pagi sehingga 7 petang, saya masih lagi akan mempunyai sekitar 30-40 peratus bateri, kira-kira empat ke lima jam tambahan apabila saya bersediap sedia untuk pulang ke rumah.

Seperti yang saya juga katakan sebelum ini, untuk gaming, jangka-hayat bateri komputer riba ini akan menurun secara mendadak apabila saya menggunakannya tanpa menambatkan kabel pengecasan pada komputer riba ini, dan dalam pengalaman saya, tidak akan melepasi satu jam walaupun dengan pengecasan penuh.
Saya jangkakan bahawa jika anda menggunakan komputer riba ini untuk tujuan menyunting dan mengolah video, penurunan kadar bateri mungkin tidak sebegitu teruk dan anda boleh menggunakan kuasa bateri tanpa masalah, tetapi anda mungkin akan perlu melihatnya dari semasa ke semasa untuk memastikan bahawa komputer riba tidak mati secara mengejut.
Penutup
Setelah beberapa tahun mencuba cara-cara baru untuk membangunkan sebuah cip pemprosesan komputer riba yang boleh menggabungkan kedua-dua prestasi perkomputeran yang baik dari segi produktiviti dan riadah, disamping menggabungkan jangka-hayat bateri yang boleh bertahan lama, Intel nampaknya sudah berjaya memperkenalkan sebuah produk yang boleh menjadi pesaing kepada monopoli komputer riba yang dipegang Apple.

Anda mungkin perasan bahawa saya tidak berkata begitu banyak tentang kemampuan kecerdasan buatan komputer riba ini. Ini bukanlah satu isu Intel, tetapi jika anda tanyakan kepada saya, keperluan untuk menggunakan teknologi kecerdasan buatan bukanlah sesuatu yang perlu dihiraukan buat masa ini.
Mungkin satu perkara yang saya harapkan bahawa Intel akan perbetulkan di masa hadapan apabila memperkenalkan model CPU baru ialah untuk memilih nama model yang lebih mudah untuk diingat berbanding apa yang digunakan untuk cip siri Meteor Lake dan Lunar Lake.

ASUS Zenbook S 14 ini sudahpun mula dijual di pasaran Malaysia pada harga RM6999. Saya tidak akan menidakkan bahawa harga komputer ini agak mahal, tetapi untuk anda yang mahukan sebuah komputer riba yang menggabungkan prestasi dan jangka-hayat bateri yang baik, ini adalah pilihan komputer riba Microsoft Windows versi X86 (berbanding dengan Arm) yang terbaik di pasaran sekarang.
Pro:
- Prestasi tiada kompromi untuk produktiviti dan riadah
- Jangka-hayat bateri panjang
- Pelbagai ciri-ciri baru menarik
- Rekaan yang elegen
Kontra:
- Tanda harga premium
- Tiada pengimbas cap jari
- Nama model CPU yang sangat mengelirukan
