
Pusat pancing komersial yang diusahakan oleh Mohd. Azizi Seren ini menawarkan dua kolam ikan yang dihuni pelbagai spesies ikan laut serta sebuah kolam udang galah untuk pemancing menikmati aktiviti lebih santai.
Siakap putih, siakap merah, jenahak, merah, gerepoh (GT) dan bawal pinang antara spesies ikan yang menjadi tarikan utama.
Ketika penulis berkunjung ke lokasi itu, beberapa orang pemancing dilihat rancak memainkan soft plastic (SP).
Ia dibiarkan tenggelam hingga ke dasar kolam, kemudian dikarau perlahan sambil diselang-selikan dengan henjutan kecil.
Ternyata penggunaan SP kelihatan menjadi kerana tidak sampai beberapa balingan, satu sambaran mengejut berlaku.
Hujung joran terus melentur, sebelum bunyi drag memecah suasana petang.
Ikan tersebut memecut ke arah tebing dan cuba mencari ruang untuk melepaskan diri. Selepas beberapa ketika, seekor ikan siakap merah berjaya dihela naik.
Di sudut lain pula, seorang pemancing dasar sedang melayan henjutan seekor jenahak yang menyambar udang hidup.
Aksi-aksi seperti inilah menjadikan suasana di TTFC sentiasa ‘hidup’, terutama pada hujung minggu.
Ubah kehidupan
Bagi Azizi, dunia memancing sudah menjadi sebahagian daripada kehidupannya sejak kecil.
Anak jati Sentul, Kuala Lumpur itu membesar dengan memancing di longkang, parit, tali air dan lombong, sebelum minatnya berkembang kepada aktiviti memancing di laut lepas.
Apabila berkemampuan, dia membeli sebuah bot sendiri untuk memenuhi minatnya terhadap aktiviti memancing di laut.
Namun selepas hampir setahun memiliki bot tersebut, Azizi terlihat sebuah iklan berkenaan satu tender untuk menguruskan satu kolam pancing.
Peluang itu mengubah perjalanan hidupnya, dan dia mengambil keputusan menjual bot dengan mula menceburi bidang pengurusan kolam pancing.

“Ramai nampak ikan dilepaskan ke dalam kolam, kemudian orang datang memancing.
“Mereka tidak nampak proses di belakangnya.
“Cabaran paling besar adalah memastikan ikan terus hidup, sihat dan aktif makan umpan,” katanya.
Ketika memulakan operasi hampir lima tahun lalu, kolam itu hanya dihuni dua spesies utama iaitu ikan siakap putih dan siakap merah.
Kedua-dua spesies tersebut menjadi permulaan untuk menguji kestabilan sistem air yang dibangunkan.
Selepas berjaya mengekalkan kedua-dua spesies ikan tersebut dengan jayanya, Azizi mengambil langkah lebih berani dengan membawa masuk ikan jenahak pula.
Kualiti air
Keputusan itu mengundang pelbagai reaksi kerana ada berpendapat spesies berkenaan tidak mampu bertahan lama dalam sistem air buatan yang terletak jauh dari laut.
Namun, Azizi berdegil untuk mencari perubahan.
Dia bertemu pembekal ikan, mendapatkan pandangan daripada individu berpengalaman serta melakukan pelbagai ujian terhadap kualiti air.
Tahap saliniti, pH, kandungan mineral dan ammonia dipantau bagi mendapatkan bacaan yang sesuai.
Usaha itu akhirnya membuahkan hasil apabila jenahak berjaya hidup dalam tempoh yang panjang serta aktif menyambar umpan pemancing.
“Itu kepuasan yang sukar digambarkan. Bila orang kata tidak boleh, kita cuba cari jalan sampai berjaya,” katanya.
Kejayaan tersebut membuka ruang kepada kemasukan spesies lain seperti ikan merah, GT dan
bawal pinang.
Hari ini, kira-kira 10 spesies ikan berjaya dipelihara di kolamnya.
Bagi kaki casting, soft plastic, minnow dan vibe merupakan antara jenis gewang yang boleh digunakan.
Namun bagi pemancing dasar, udang hidup masih menjadi umpan pilihan utama untuk digunakan di kolam.
Dua kolam berbeza
Kolam A menempatkan ikan dengan saiz purata melebihi sekilogram.
Manakala Kolam B dihuni ikan bersaiz sekitar 1.8 hingga dua kilogram ke atas.
Sementara itu, kolam udang galah sesuai untuk aktiviti santai bersama keluarga atau pemancing baharu.
TTFC beroperasi setiap hari bermula dari pukul 10 pagi hingga 12 tengah malam dengan beberapa pilihan sesi memancing seperti, empat, lima atau lapan jam.
Bagi Azizi, kepuasan terbesar adalah apabila melihat pemancing pulang dengan senyuman selepas berjaya mendaratkan ikan sasaran.
Daripada seorang budak Sentul yang membesar dengan memancing di longkang dan lombong, dia kini berjaya menguruskan sebuah pusat pancing yang menghimpunkan pelbagai spesies ikan laut di tengah kawasan bandar.
Bagi kaki pancing yang mahu menghilangkan gian tanpa perlu menunggu musim atau cuaca laut kembali bersahabat, TTFC boleh dijadikan antara destinasi pilihan.
Cukup dengan menyediakan set pancing, memilih umpan atau gewang dan membuat lontaran.
Selebihnya, tunggu sahaja saat tali menegang dan bunyi drag memecah kesunyian.
The post Lepas gian di Tuan Tanah Fishing Centre appeared first on Kosmo Digital.


