Lepasan SPM perlu pilih bidang ikut minat, bukan pengaruh rakan, keluarga

11 Jul 2026 • 10:00 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Lepasan SPM perlu pilih bidang ikut minat, bukan pengaruh rakan, keluarga

SHAH ALAM, 10 JULAI: Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) disaran memilih laluan pendidikan berdasarkan minat dan potensi diri, bukannya sekadar mengikut pengaruh rakan, keluarga atau trend semasa.

Timbalan Dekan Akademik Fakulti Kejuruteraan dan Sains Hayat Universiti Selangor (UNISEL), Ts Dr Norazean Shaari @ Md Noh berkata, lambakan maklumat mengenai peluang pendidikan ketika ini turut menjadi antara cabaran kepada pelajar untuk menentukan hala tuju mereka.

"Sekarang pelajar mempunyai lebih banyak akses terhadap bidang dan hala tuju yang mereka nak tuju selepas tamat SPM. Tapi bila terlalu banyak maklumat, mereka jadi keliru.

"Cabarannya adalah untuk menapis apa yang mereka betul-betul minat berdasarkan maklumat yang mereka terima dan adakah minat itu sesuai dengan kebolehan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Bicara Semasa bertajuk 'TVET atau universiti, mana pilihan terbaik?' terbitan Media Selangor, baru-baru ini.

Image from: Lepasan SPM perlu pilih bidang ikut minat, bukan pengaruh rakan, keluarga
Timbalan Dekan (Akademik) Fakulti Kejuruteraan dan Sains Hayat Universiti Selangor (UNISEL), Ts Dr Norazean Shaari @ Md Noh ketika program Bicara Semasa di Media Selangor pada 2 Julai 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Beliau berkata, selepas mengenal pasti minat, pelajar juga perlu menilai sama ada bidang yang ingin diceburi selari dengan kebolehan serta kekuatan diri supaya tidak berdepan kesukaran ketika mengikuti pengajian.

Menurutnya, pelajar turut disaran melihat keperluan industri bagi tempoh lima hingga 10 tahun akan datang kerana perkembangan teknologi dan pasaran pekerjaan berubah dengan pantas.

"Contoh bila keluar universiti selepas empat atau lima tahun, adakah bidang yang dia minat itu masih lagi relevan dengan industri? Itu pun satu cabaran juga sebab sekarang ni dunia kita bergerak pantas.

"Kalau terlalu ikut kawan dan kemudian berlaku lambakan graduan dalam industri tertentu pun akan beri kesan juga kepada industri, sebab tu ada pula isu tenaga asing dan sebagainya," katanya.

Dr Norazean berkata, perbincangan antara ibu bapa dan anak juga penting supaya keputusan yang dibuat benar-benar berdasarkan potensi diri, bukannya kehendak pihak lain.

Katanya, ibu bapa perlu memainkan peranan sebagai pembimbing dan memberi ruang kepada anak membuat pilihan yang sesuai dengan kemampuan masing-masing.

"Kalau ibu bapa paksa anak untuk buat bidang tertentu tetapi anak tak minat, itu yang jadi akhirnya tak habis belajar ataupun dia habiskan juga tetapi dia tak kerja pun dalam bidang itu," katanya.

Beliau berkata, pemilihan laluan pendidikan yang tepat bukan sahaja membantu pelajar mengikuti pengajian dengan lebih baik, malah memastikan bidang yang dipilih terus relevan dengan keperluan industri pada masa hadapan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved