Lesen bekal bahan api kapal ambil 7 bulan, bagaimana Malaysia mahu jadi hab bunkering 2030?

LocalBusiness & Finance
2 Oct 2026 • 7:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Lesen bekal bahan api kapal ambil 7 bulan, bagaimana Malaysia mahu jadi hab bunkering 2030? Image from: Lesen bekal bahan api kapal ambil 7 bulan, bagaimana Malaysia mahu jadi hab bunkering 2030? Eksponen02/10/2026 - 07:00 Oleh WAN MOHD FARID WAN ZAKARIA editor@dagangnews.com

Kita sudah terlalu lama menjual peta.

 

Setiap kali bercakap tentang pelabuhan, hujahnya hampir sama. Malaysia terletak di laluan strategik. Selat Melaka sibuk. Ribuan kapal melintas. Semuanya betul.

 

Tetapi pemilik kapal tidak membayar kita semata-mata kerana Malaysia berada di tepi laluan mereka. Mereka membayar apabila ada sebab untuk singgah.

 

Pada 29 September, kerajaan mengumumkan perubahan dalam urusan bunkering, iaitu pembekalan bahan api kepada kapal. Mulai 1 Februari 2027, permohonan lesen dan permit berkaitan akan melalui satu saluran yang diselaraskan oleh Kementerian Pengangkutan.

 

Tempoh kelulusan yang kini boleh mencecah enam hingga tujuh bulan disasarkan dipendekkan kepada beberapa minggu. Agensi lain masih mengekalkan bidang kuasa masing-masing.

 

Enam hingga tujuh bulan untuk mendapatkan kebenaran berniaga bukan sekejap. Dalam tempoh kita menunggu lesen, kapal terus lalu dan membeli bahan api di tempat lain.

 

Satu kaunter, jangan penantian sama

Memendekkan proses kelulusan memang wajar. Pembekal boleh memulakan operasi lebih cepat. Namun, lesen yang cepat diluluskan belum tentu membuatkan kapal datang membeli.

 

Jangan pula pemohon hanya berurusan dengan satu kaunter, tetapi permohonannya masih tersangkut di beberapa pejabat yang perlu memberikan kelulusan.

 

Peniaga mahu tempoh menunggu lebih singkat dan kos mengurus permohonan lebih rendah. Kalau borang cuma berpindah tempat tetapi jawapan tetap lambat, apa yang berubah sebenarnya?

 

Di seberang Selat Johor, Singapura menjual 56.77 juta tan bahan api marin pada 2025. Melihat angka itu, ada yang merasakan Malaysia terlepas perniagaan yang sepatutnya menjadi milik kita.

 

Saya kurang bersetuju. Pemilik kapal tidak membahagikan pembelian mengikut panjang garis pantai sesebuah negara. Mereka membeli di tempat yang paling sesuai dengan keperluan dan jadual perjalanan.

 

Bayangkan sebuah kapal yang perlu berlepas malam ini. Harga bahan api yang ditawarkan memang menarik, tetapi penghantarannya lewat. Selepas bahan api tiba, timbul pula pertikaian tentang jumlah yang dibekalkan. Jadual kapal terganggu sementara menunggu masalah itu diselesaikan.

 

Harga murah sahaja tidak cukup

Pemilik kapal akan mengingati pengalaman itu lebih lama daripada iklan yang mendakwa pelabuhan kita bertaraf dunia. Sekali jadual terganggu, belum tentu mereka mahu datang lagi.

 

Sebab itu persaingan bunkering bukan soal harga semata-mata. Pelanggan mahu bekalan sampai pada waktunya, jumlah yang diterima boleh disahkan dan sebarang pertikaian diselesaikan tanpa menahan kapal terlalu lama.

 

Singapura misalnya, telah menggunakan dokumentasi digital bagi semua pembekal bunkering sejak Ogos 2025. Rekod penghantaran boleh diperiksa secara elektronik. Urusan begini jarang menjadi tajuk besar, tetapi pihak yang membayar bil bahan api mengambil berat tentangnya.

 

Malaysia mahu menjadi hab bunkering Asia-Pasifik menjelang 2030. Kita juga sedang membangunkan rangka kerja bagi bahan api kapal yang lebih hijau.

 

Pasaran itu berkembang. Jualan bahan api alternatif di Singapura meningkat daripada 1.35 juta tan pada 2024 kepada 1.95 juta tan pada 2025.

 

Namun, kemudahan untuk membekalkan bahan api baharu memerlukan modal, pekerja terlatih dan bekalan yang terjamin. Sebelum membina, kita perlu tahu siapa yang akan membeli dan berapa banyak yang diperlukan.

 

Bina mengikut permintaan

Kalau semuanya dibina serentak tanpa permintaan yang jelas, kemudahan mungkin siap tetapi pelanggan belum ada. Cantiklah gambar untuk pembentangan, sedangkan pekerja di pelabuhan menunggu kapal yang tidak kunjung tiba.

 

Lebih baik tumpukan usaha di beberapa lokasi dahulu. Kenal pasti kapal yang melalui kawasan itu, bahan api yang digunakan dan perkara yang boleh mendorong mereka singgah. Kemudian, pastikan perkhidmatan di situ berjalan dengan baik.

 

Pembangunan ini juga perlu membuka peluang kepada pekerja tempatan. Operasi bunkering memerlukan juruteknik, petugas keselamatan dan pengendali bekalan. Peniaga kecil di sekitar pelabuhan juga boleh mendapat manfaat.

 

Latihan perlu disediakan seiring dengan perkembangan operasi. Kita mahu pekerja tempatan mempunyai kemahiran yang diperlukan, bukan sekadar melihat peluang pekerjaan itu diisi oleh orang lain.

 

Kapal yang singgah untuk mengisi minyak mungkin turut membeli keperluan asas, mendapatkan penyelenggaraan atau menggunakan perkhidmatan lain. Di situlah perniagaan ini boleh membawa pendapatan tambahan kepada lebih ramai orang.

 

Tetapi semua itu bergantung pada keputusan pemilik kapal. Adakah singgah di Malaysia memudahkan perjalanan mereka? Berapa lama masa yang diperlukan, dan adakah urusan boleh diselesaikan seperti yang dijanjikan?

 

Hab 2030 perlu bukti

Mulai 2027, kerajaan wajar menerbitkan tempoh sebenar kelulusan lesen. Barulah industri boleh melihat sama ada proses baharu itu benar-benar lebih cepat.

 

Kemajuan industri pula boleh diukur melalui jumlah kapal yang dilayan, bahan api yang dijual dan masa yang diambil untuk menyelesaikan aduan. Sasaran 2030 perlu disertai angka yang menunjukkan perkembangan perniagaan.

 

Selat Melaka memang memberi Malaysia peluang besar. Tetapi peluang itu tidak dengan sendirinya menjadi jualan.

 

Kita boleh terus menunjukkan kedudukan strategik negara pada peta. Pemilik kapal pula mengira masa dan kos. Jika urusan mereka lebih cepat dan lebih mudah di pelabuhan jiran, di situlah mereka akan mengisi minyak. - DagangNews.com

 

WAN MOHD FARID WAN ZAKARIA merupakan seorang Pensyarah Kanan di Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta seorang penganalisis industri, kolumnis, dan penulis yang aktif mengulas isu-isu berkaitan kewangan, pelaburan, dan ekonomi di Malaysia.

 

Kolumnis Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved