Lesen Perniagaan Dibatalkan, Network School Diarah Henti Operasi Berkuat Kuasa 22 Julai – Onn Hafiz

LocalPolitics
21 Jul 2026 • 7:07 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Lesen Perniagaan Dibatalkan, Network School Diarah Henti Operasi Berkuat Kuasa 22 Julai – Onn Hafiz

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) telah membatalkan lesen perniagaan NS0 Malaysia Sdn Bhd atau turut digelar Network School selain mengarahkan semua aktivitinya di Forest City dihentikan berkuat kuasa esok, 21 Julai.

Menurut Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi keputusan tersebut diambil mengikut proses dan peruntukan undang-undang dan Kerajaan Negeri turut menyokong sepenuhnya keputusan yang dibuat dalam Mesyuarat Penuh Khas MBIP.

Ini selepas penelitian terhadap laporan pemeriksaan, dapatan penguatkuasaan serta representasi yang dikemukakan syarikat berkenaan.

“Tindakan penguatkuasaan hanya boleh diambil selepas aduan serta maklumat disahkan, pemeriksaan dijalankan, ketidakpatuhan dikenal pasti dan proses undang-undang disempurnakan.

“Tempoh sesuatu premis beroperasi tidak bermakna semua aktivitinya sentiasa mematuhi syarat lesen. Apabila ketidakpatuhan dikenal pasti, tindakan mesti diambil tanpa kompromi.

“Kerajaan negeri akan terus memperketat penyelarasan antara agensi agar sebarang ketidakpatuhan dapat dikesan dan ditangani segera,” katanya dalam satu kenyataan.

Johor alu-alukan pelaburan tapi tiada pelabur boleh atas kedaulatan undang-undang negara

Beliau dalam masa sama turut menegaskan bahawa Johor sentiasa mengalu-alukan pelaburan berkualiti tinggi yang mampu merangsang ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan serta memacu pembangunan negeri.

Pun begitu tiada mana-mana pelabur atau organisasi boleh mengatasi kedaulatan undang-undang negara.

“Dalam ruang lingkup bidang kuasa yang diperuntukkan, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang atau perkara yang boleh menjejaskan keselamatan, kedaulatan dan kepentingan negara,” katanya.

Kerajaan Johor turut menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) meneruskan siasatan dan mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat penyalahgunaan pasport kedua, salah nyata identiti, pelanggaran syarat kemasukan atau apa-apa kesalahan di bawah undang-undang Malaysia.

Jelas beliau isu ini tidak boleh dipandang ringan, lebih-lebih lagi apabila Johor merupakan pintu masuk strategik negara yang bersempadan dengan Singapura.

“Sebarang kelemahan atau penyalahgunaan sistem imigresen mesti ditangani segera, tegas dan tanpa kompromi,” katanya.

Dalam pada itu beliau turut menggesa Kementerian Digital dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap status Malaysia Digital atau sebarang pengiktirafan yang telah diberikan kepada organisasi berkenaan sekiranya terdapat ketidakpatuhan terhadap syarat atau prinsip yang ditetapkan.

Tambah Onn, Johor juga mahu semua agensi berkaitan memperketat proses due diligence, termasuk semakan latar belakang, pemilikan, sumber pembiayaan, bentuk operasi serta naratif yang dibawa oleh mana-mana syarikat atau organisasi.

Pnyelarasan antara agensi juga perlu diperkukuh supaya setiap pelaburan atau inisiatif antarabangsa diteliti secara menyeluruh daripada aspek pelesenan, imigresen, keselamatan, penggunaan premis serta pematuhan undang-undang.

“Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan Johor kekal sebagai destinasi pelaburan yang diyakini tanpa berkompromi terhadap keselamatan, kedaulatan dan undang-undang negara.

“Semua perkara berhubung tindakan itu sudah dipersembahkan untuk makluman serta mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor,” kata Onn Hafiz lagi.

View on Threads
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved