Kerajaan Johor Batal Lesen & Arah Network School Forest City Henti Operasi Mula Esok

LocalPolitics
21 Jul 2026 • 5:51 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

syaz ft 2026 07 21T173455.802

Kerajaan Negeri Johor menegaskan bahawa tiada mana-mana pihak, syarikat, atau pelabur luar yang boleh meletakkan diri mereka mengatasi undang-undang negara.

Terbaharu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembatalan lesen perniagaan serta arahan penghentian serta-merta bagi semua aktiviti perniagaan NS0 Malaysia Sdn. Bhd. (Network School) di Forest City, berkuat kuasa pada 22 Julai 2026.

Artikel berkaitan: Di Sebalik Kontroversi Di Forest City, Siapa Sebenarnya Pengasas ‘Network School’ Balaji Srinivasan?

Artikel berkaitan: Isu ‘Network School’ & Dakwaan Warga Israel Di Forest City, KDN Jalankan Siasatan

Dikesan Langgar Syarat & Ketidakpatuhan Undang-Undang

Menurut kenyataan media rasmi yang dikeluarkan, keputusan tegas itu dicapai selepas Mesyuarat Penuh Khas Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) meneliti laporan pemeriksaan, dapatan penguatkuasaan, serta representasi daripada pihak syarikat berkenaan.

1. Kerajaan Negeri Johor mengambil maklum dan menyokong sepenuhnya keputusan Mesyuarat Penuh Khas Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) untuk… pic.twitter.com/WWidMMHLQd

— Onn Hafiz Ghazi (@onnhafiz) July 21, 2026

Onn Hafiz menjelaskan bahawa tindakan penguatkuasaan diambil secara berperingkat mengikut lunas undang-undang sebaik sahaja aduan disahkan dan ketidakpatuhan dikenal pasti.

“Tempoh sesuatu premis beroperasi tidak bermakna semua aktivitinya sentiasa mematuhi syarat lesen. Apabila ketidakpatuhan dikenal pasti, tindakan mesti diambil tanpa kompromi,” tegas beliau.

Gesa KDN, PDRM & Imigresen Buat Siasatan Lanjut

Bukan itu sahaja, Kerajaan Negeri Johor turut menggesa agensi keselamatan seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan mendalam.

Siasatan ini merangkumi sebarang potensi salah guna pasport kedua, salah nyata identiti, atau sebarang pelanggaran syarat kemasukan ke dalam negara.

Jelas Onn Hafiz, kelemahan atau penyalahgunaan sistem imigresen tidak boleh dipandang ringan memandangkan kedudukan Johor sebagai pintu masuk strategik negara yang bersempadan terus dengan Singapura.

Keputusan Disembah Maklum Kepada YDPA & Pemangku Sultan Johor

Bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negeri terus terpelihara, isu ini turut digesa untuk diteliti oleh Kementerian Digital dan MDEC berhubung status Malaysia Digital atau pengiktirafan yang pernah diberikan kepada organisasi tersebut.

Malah, seluruh perkara berhubung pembatalan dan tindakan penguatkuasaan ini telah disembah maklum serta mendapat perkenan daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.

Kerajaan Negeri Johor menegaskan bahawa walaupun mereka sentiasa mengalu-alukan pelaburan berkualiti tinggi demi ekonomi negeri, keselamatan serta kedaulatan undang-undang tetap menjadi keutamaan yang paling utama.

Sumber: X

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved