Lesen premis judi: ‘Ada lagi kot jalan’ – Sanusi

LocalPolitics
19 Aug 2026 • 9:18 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Lesen premis judi: ‘Ada lagi kot jalan’ – Sanusi

BALING: Kerajaan negeri belum membuat sebarang ketetapan lanjut berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan mereka mendapatkan kebenaran merayu berkaitan pengeluaran lesen premis perjudian di Kedah.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sebarang tindakan susulan juga perlu diteliti dari sudut perundangan bagi memastikan kerajaan negeri tidak melanggar atau menghina keputusan mahkamah.

“Mana ada orang boleh tidak akur dengan perintah mahkamah. Nanti jadi menghina mahkamah. Tak bolehlah. Saya tidak boleh beri penjelasan kerana saya tiada kepakaran dalam perkara itu.

“Peguam akan beri penjelasan apa kesannya, apa yang mengikat kita, apa yang boleh dan apa yang tidak boleh. Ada lagi kot jalan. Insya-Allah ada jalan,” katanya selepas Majlis Pecah Tanah Pembinaan Kolej Kediaman Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), semalam.

Ditanya sama ada kerajaan negeri akan mengeluarkan lesen baharu premis perjudian, Muhammad Sanusi berkata, perkara itu belum diputuskan namun menjelaskan operasi perjudian juga berkait rapat dengan aspek permintaan dan penawaran.

“Kalau semua orang tak mahu main, tak payahlah buka. Tak ada permintaan, tentulah tak ada penawaran. Saya tak ada keputusan itu (lesen baharu), tengoklah dia punya kehendak macam mana. Hati saya dengan Tuhan. Tuhan tak beri, tapi makhluk beri jadi hati saya tetap dengan Tuhan,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri tidak berniat menafikan hak golongan bukan Islam, namun pendirian itu adalah berasaskan prinsip agama yang tidak harus dilihat sebagai tindakan mendiskriminasi mana-mana kaum.

“Saya masih berfikir apabila mereka kata menafikan hak orang bukan Islam. Kita tidak nafikan hak apa pun. Tapi kalau benda mungkar ini, Tuhan suruh sekat.

“Masalahnya orang Islam pun boleh masuk (premis judi), itu yang jadi isu. Orang Cina oleh kerana agama dia tidak halang main judi, pergilah main. Ikut suka hangpa lah. Hati saya dengan Tuhan saya,” katanya.

Mengulas sama ada kerajaan negeri akan menggunakan segala ruang yang masih ada untuk meneruskan pendirian berhubung dasar sifar judi, Muhammad Sanusi berkata, perkara itu perlu diteliti terlebih dahulu.

“Saya tidak boleh nak kata lagilah. Kena tengok adakah menyatakan hasrat macam itu boleh dikira menghina mahkamah? Tapi saya boleh kata hati saya dengan Tuhan. Siapa yang reda dengan mungkar adalah mungkar. Prinsip Islamnya begitu. Reda dengan kufur, kufur,” katanya.

Pada 12 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan Kedah mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar berhubung pengeluaran lesen perjudian.

Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan arahan kerajaan Kedah adalah ultra vires (di luar kuasa) serta tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN

The post Lesen premis judi: ‘Ada lagi kot jalan’ – Sanusi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved