Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor diminta menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan kebenaran merayu berhubung keputusan Mahkamah Rayuan mengenai dasar negeri itu tidak memperbaharui lesen perniagaan berkaitan perjudian.
Anggap dasar tak berpelembagaan
Merujuk kepada Facebook, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh menyatakan keputusan Mahkamah Rayuan yang mendapati dasar berkenaan tidak berperlembagaan kerana mencerobohi bidang kuasa Persekutuan perlu dihormati dan bukannya cuba dielakkan sehingga boleh membawa kepada tindakan menghina mahkamah.
“Tidak dinafikan, Free Malaysia Today melaporkan Sanusi berkata perkara itu terlebih dahulu akan dinilai penasihat undang-undang negeri bagi mengelakkan sebarang tindakan yang boleh dianggap sebagai penghinaan terhadap mahkamah.
“Namun, persoalan yang perlu ditanya ialah sama ada Menteri Besar itu sedang mempertimbangkan langkah untuk melaksanakan keputusan mahkamah, bukannya mencari jalan untuk mengelak daripada mematuhinya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sanusi perlu menerima hakikat
Menurut Ramkarpal, Sanusi perlu menerima hakikat bahawa perjudian berlesen telah menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat Malaysia dan lesen bagi menjalankan perniagaan berkaitan perjudian dibenarkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, aktiviti berkenaan tidak menyinggung sensitiviti golongan bukan Islam di negara ini.
“Sanusi sepatutnya menumpukan usaha mengenal pasti kaedah penguatkuasaan yang lebih berkesan bagi menangani isu umat Islam yang terlibat dalam aktiviti perjudian.
“Beliau juga perlu mengarahkan kerajaan negeri untuk bekerjasama dengan agensi Persekutuan seperti Kementerian Kewangan, PDRM, SPRM, MCMC dan pihak berkuasa tempatan bagi menentukan kaedah terbaik untuk mencapai matlamat tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Ramkarpal memaklumkan Sanusi juga perlu mengambil kira kemungkinan usaha menyekat perjudian berlesen akan menyebabkan peningkatan aktiviti perjudian haram di pasaran gelap.
Menurutnya, aktiviti berkenaan berkemungkinan dijalankan individu atau sindiket, termasuk menerusi perjudian dalam talian.
“Memandangkan isu perjudian berlesen itu jelas telah diputuskan oleh mahkamah menerusi keputusan terbaharu Mahkamah Persekutuan, Sanusi sepatutnya menerima hakikat bahawa aktiviti perjudian berkenaan adalah sah di sisi undang-undang.
“Oleh itu, tiada alasan untuk mencari pilihan atau jalan untuk mengelaknya,” katanya.
Sanusi perlu mematuhi urusan
Ramkarpal menegaskan keputusan mahkamah mengenai perkara itu adalah jelas dan perlu dipatuhi oleh Menteri Besar Kedah.
“Sanusi seharusnya mematuhinya kerana bukan urusannya untuk mencari jalan bagi mengelakkan keputusan tersebut,” katanya.

Semalam, Sanusi berkata Kerajaan Negeri Kedah mengakui terpaksa akur dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan Kedah mendapatkan kebenaran merayu berhubung tindakan menghentikan pengeluaran lesen premis perjudian di negeri ini.
Malah, Sanusi berkata kerajaan negeri ketika ini dalam proses mendapatkan penjelasan lanjut daripada pihak peguam mengenai implikasi keputusan itu serta perkara yang boleh atau tidak boleh dilakukan selepas ini.
Minggu lalu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan negeri Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan yang membatalkan tindakannya menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen perniagaan bagi pengendali pertaruhan nombor ramalan di negeri itu.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Rhodzariah Bujang bersama Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin turut memerintahkan kerajaan negeri membayar kos RM50,000.
Sumber: Facebook Ramkarpal Singh






