Letak jawatan keputusan saya sendiri – Wong Chen

LocalPolitics
11 Aug 2026 • 8:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Letak jawatan keputusan saya sendiri – Wong Chen

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Subang, Wong Chen mengumumkan peletakan jawatannya sebagai wakil rakyat kawasan itu berkuat kuasa pukul 5 petang, semalam.

Wong Chen berkata, notis peletakan jawatannya itu telah disampaikan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

“Notis ini telah disampaikan kepada Tan Sri selaras dengan Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan bertarikh 5 Ogos bagi memberikan tempoh tiga hari bekerja kepada pentadbiran Parlimen untuk menguruskan segala proses serta dokumentasi berkaitan dengan kekosongan jawatan tersebut,” katanya.

Notis dengan cop pengesahan diterima Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia itu dikongsikan Wong melalui akaun Facebook miliknya semalam.

Dalam hantaran itu, Wong berkata, beliau telah berjumpa dengan Johari pada 5 Ogos lalu bagi menyerahkan surat peletakan jawatannya.

“Kami telah mencapai persetujuan bersama untuk tidak mendedahkan sebarang butiran sehingga pukul 5 petang 10 Ogos (semalam).

“Kami juga akan menggugurkan gelaran kehormat Yang Berhormat (YB) daripada semua papan iklan, papan tanda dan surat-menyurat mulai bulan depan,” katanya.

Wong turut memaklumkan beliau akan mengadakan sidang akhbar pada Rabu pukul 11 pagi, namun lokasinya tidak didedahkan.

Dalam pada itu, Wong yang dilihat sebagai sekutu rapat bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli, turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat serta seluruh warga Parlimen Malaysia.

Penghargaan itu dizahirkan kerana kepercayaan, sokongan dan kerjasama yang baik selama tiga penggal beliau berkhidmat sebagai Ahli Parlimen.

Sementara itu, ketika bercakap kepada Utusan Malaysia, Wong Chen berkata, keputusan meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Subang adalah keputusan sendiri dan tiada perbincangan dengan Ahli Parlimen lain.

Katanya, setiap wakil rakyat mempunyai hak untuk membuat keputusan, termasuk dirinya yang disekat daripada mempunyai akses kepada sistem MyKhas.

“Saya nak tunggu apa lagi? Akses kita disekat, kita tanya mereka tidak jawab, lantik pula penyelaras sehingga kita tidak boleh buat kerja. Jadi habislah kita.

“Sebab itu saya letak jawatan dan keputusan saya letak jawatan ini adalah keputusan sendiri. Saya tidak berbincang dengan yang lain.

“Pada saya, mereka ada hak membuat keputusan untuk diri sendiri,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Wong Chen merupakan antara lima Ahli Parlimen PKR yang sebelum ini menyuarakan rasa kecewa berhubung tindakan menyekat akses kepada portal MyKhas, yang digunakan bagi menguruskan peruntukan pembangunan kawasan.

Empat lagi ialah Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung; Ahli Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan; dan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan.

Sebelum ini, dua bekas pemimpin kanan PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad turut meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Pandan dan Setiawangsa, masing-masing berkuat kuasa pada 18 Mei lalu, sebelum meninggalkan PKR untuk menyertai platform politik baharu.

Rafizi merupakan bekas Menteri Ekonomi manakala Nik Nazmi bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Kedua-duanya sebelum itu meletakkan jawatan daripada Kabinet pada 2025 selepas tewas dalam pemilihan PKR, dengan peletakan jawatan Rafizi berkuat kuasa 17 Jun manakala Nik Nazmi pada 4 Julai 2025. – UTUSAN

 

The post Letak jawatan keputusan saya sendiri – Wong Chen appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved