
PETALING JAYA – Situasi air melimpah di ruang lif Menara Utama, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) mencetuskan perhatian pengguna media sosial selepas rakaman kejadian itu tular hari ini.
Menerusi hantaran di Threads, seorang pengguna mendakwa terdengar bunyi letupan sebelum mendapati kawasan berhampiran beberapa lif di bangunan berkenaan dipenuhi air.
“Tadi ada letupan, selepas itu semua lif Menara Utama di PPUM banjir. Ada sesiapa tahu apa yang berlaku?” tulisnya.
Rakaman yang dikongsikan memperlihatkan air mengalir dengan deras dari bahagian atas pintu sebuah lif sehingga membasahi ruang menunggu dan lantai di kawasan berkenaan.
Satu lagi rakaman menunjukkan beberapa individu berada di lokasi sambil memerhatikan keadaan lif, manakala lantai di hadapan deretan lif kelihatan basah.
Kejadian tersebut turut mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial yang membuat andaian kemungkinan berlaku kebocoran paip atau tangki air pecah.
“Paip bocor kot ni, sebab baru jadi dekat kondominium kami. Meletup awal pagi, nak pergi kerja lif semua tak boleh hidup sebab air masuk,” komen Sha_neyda.
“Tangki air pecah kot ni,” komen Man pula.
Bagaimanapun, punca sebenar kejadian serta status operasi lif di Menara Utama PPUM masih belum dapat dipastikan susulan tiada kenyataan rasmi dikeluarkan setakat ini. – KOSMO! ONLINE
The post Letupan, limpahan air di ruang lif PPUM appeared first on Kosmo Digital.



