
Kota Kinabalu: Operasi mencari seorang lelaki warga emas yang hilang dan berjaya ditemukan dalam keadaan selamat menjadi misi terakhir anjing K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Lexi, sebelum haiwan itu ditemukan tidak bernyawa keesokan paginya selepas bertahun-tahun membantu pasukan penyelamat mencari individu yang hilang.
Anjing baka Labrador Retriever berusia 10 tahun itu mati pada 6.15 pagi, 6 Nov, sehari selepas menyertai operasi yang berakhir dengan penemuan seorang lelaki berusia 67 tahun di Kampung Pulutan Membawang, Manggatal.
Dalam penghormatan terakhir kepada Lexi, JBPM Sabah berkata anjing berkenaan telah menjalankan tugas dengan cemerlang sepanjang operasi mencari dan menyelamat (SAR) selama dua hari yang bermula pada 4 Nov.
“Selamat tinggal, Lexi. Terima kasih atas khidmat bakti dan kerana menjadi sebahagian daripada keluarga JBPM Sabah. Kami akan merindui kamu,” menurut kenyataan jabatan itu.
Jabatan berkenaan berkata Lexi telah dikuburkan selepas menjalani pemeriksaan bedah siasat.
Berasal dari United Kingdom, Lexi merupakan antara enam anjing pertama yang dibawa ke Sabah pada 2018 bagi membantu penubuhan unit K9 jabatan itu, dengan berkhidmat bersama anggota bomba dalam operasi pencarian di hutan, kawasan terpencil dan muka bumi yang sukar.
Menurut jabatan itu, Lexi dibawa pulang ke pangkalan selepas misi terakhirnya, sebelum anggota membersihkan dan memberinya makan. Anjing itu makan seperti biasa dan tidak menunjukkan sebarang tanda luar biasa.
Bagaimanapun, anggota yang melakukan pemeriksaan rutin pada awal pagi keesokan harinya mendapati Lexi tidak memberikan sebarang tindak balas. Usaha kecemasan untuk menyelamatkannya gagal.
Jabatan itu berkata Lexi mempunyai masalah jantung dan ketumbuhan pada gusi, yang sebelum ini menerima rawatan serta pemantauan veterinar.
Lexi dihantar ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah untuk pemeriksaan bedah siasat sebelum dikebumikan pada 7 Nov. Punca kematiannya tidak dinyatakan.
Dilahirkan pada 21 April 2016, Lexi menyertai pasukan K9 jabatan itu pada 2017 dan menjalani latihan khusus untuk mengesan individu hilang di kawasan hutan.
Lexi tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada 30 Okt 2018 bersama Scott, Pepper, Bill, Peter dan Fleur, selepas berlaku kelewatan yang menyebabkan anjing-anjing berkenaan terpisah daripada pengendali masing-masing selama kira-kira enam bulan.
Lexi dan Scott ditugaskan dalam operasi pencarian di kawasan hutan, manakala unit K9 Sabah ditubuhkan secara rasmi pada 10 Dis tahun yang sama.





