hamden09/09/2026 - 10:19 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 9 Sept - Prospek jangka panjang LGMS Bhd kekal positif didorong potensi pengkomersialan penyelesaian keselamatan siber berasaskan kecerdasan buatan (AI) serta peningkatan ancaman siber, meskipun pertumbuhan pendapatan dijangka lebih perlahan dalam tempoh terdekat.
Firma penyelidikan Mercury Research berkata, prestasi jangka pendek LGMS terus tertekan berikutan tempoh penyelesaian projek yang lebih panjang, pertumbuhan lebih perlahan merentasi segmen hasil utama serta peningkatan perbelanjaan operasi (OPEX) susulan pelaburan berterusan dalam teknologi AI.
"Bagaimanapun, kelewatan pengiktirafan hasil akibat tempoh penyelesaian projek yang lebih panjang dilihat lebih kepada isu masa dan bukannya kemerosotan struktur dalam permintaan terhadap perkhidmatan keselamatan siber," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
LGMS yang mempunyai model perniagaan berasaskan projek mengiktiraf hasil selepas sesuatu projek disiapkan. Pelanggan kini mengambil masa lebih lama untuk memuktamadkan dan melaksanakan sistem keselamatan siber, sekali gus menangguhkan penyelesaian projek, pengebilan serta pengiktirafan hasil.
Bagi 6MFY26, hasil LGMS meningkat 6% tahun ke tahun tetapi susut 7% suku ke suku kepada RM10 juta, lebih rendah daripada jangkaan penganalisis.
Segmen Ancaman Siber dan Tindak Balas Insiden turut menguncup 57% suku ke suku kepada RM600,000 akibat jumlah kemenangan projek yang lebih rendah.
Dalam tempoh sama, EBITDA merosot 35% suku ke suku kepada RM2 juta, manakala margin EBITDA mengecil kepada 21% berikutan OPEX lebih tinggi.
Prospek pendapatan berulang
Mercury Research berkata, LGMS bagaimanapun sedang meningkatkan pelaburan dalam penyelesaian berasaskan AI seperti Penilaian Keselamatan Aplikasi AI & LLM, Pengimbas LSAST dan Pemantauan Pendedahan Kredensial.
Penyelesaian tersebut ditawarkan secara berasaskan langganan, yang berpotensi mengubah model perniagaan LGMS daripada penglibatan sekali setahun kepada penilaian keselamatan dan pemantauan secara berterusan.
"Pendekatan ini berpotensi mewujudkan aliran hasil berulang untuk LGMS, selain menyediakan pemantauan berterusan kepada pelanggan," katanya.
Menurut penganalisis, peningkatan automasi melalui AI dalam jangka panjang juga berpotensi mengurangkan kos bagi tugasan berulang dan memakan masa, sekali gus membolehkan pakar keselamatan siber memberi tumpuan kepada penilaian dan siasatan yang lebih kompleks serta kerja bernilai lebih tinggi.
Ancaman siber dalam AI
Dalam pada itu, peningkatan penggunaan AI bagi melancarkan serangan siber dijangka menjadi pemangkin kepada permintaan terhadap penyelesaian keselamatan siber berasaskan AI.
Mercury Research menjangkakan pertumbuhan hasil LGMS sebanyak 4% bagi FY26E dan 11% bagi FY27E, lebih rendah berbanding unjuran terdahulu masing-masing 6% dan 13%.
Anggaran pendapatan FY26E dan FY27E turut dikurangkan 3.2% dan 3.5% masing-masing kepada RM9.3 juta dan RM9.7 juta.
Sementara itu, OPEX dijangka kekal tinggi susulan peningkatan pelaburan dalam penyelesaian AI, dengan margin OPEX diunjurkan pada 66% dan 67.6% bagi FY26E dan FY27E.
"Kami kekal berhati-hati tetapi optimistik terhadap prospek FY26E-FY27E LGMS. Walaupun pertumbuhan jangka pendek dijangka lebih lembut, kami melihat potensi jangka panjang daripada pengkomersialan penyelesaian AI yang boleh menjana hasil langganan berulang," katanya.
Dari segi penilaian, Mercury Research menurunkan sasaran harga LGMS kepada RM0.490 daripada RM0.510 berdasarkan gandaan P/E sasaran tidak berubah pada 23 kali yang diterapkan kepada EPS FY27E sebanyak 2.2 sen.
Saranan Pegang dikekalkan, dengan penilaian saham semasa dilihat masih tidak terlalu tinggi.
Antara kelebihan pelaburan LGMS termasuk kedudukan kukuh sebagai pakar keselamatan siber yang diiktiraf di rantau Asia Pasifik, potensi pengkomersialan penyelesaian proprietari berasaskan AI melalui model langganan serta peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan keselamatan siber berikutan ancaman siber berasaskan AI yang semakin canggih.
Bagaimanapun, risiko utama termasuk kelewatan penyelesaian projek dan pengiktirafan hasil, pertumbuhan lebih perlahan dalam segmen Pencegahan Risiko Siber dan Pengurusan Risiko Siber, OPEX yang tinggi susulan pelaburan AI, ketidakupayaan memperoleh kontrak sektor awam serta penggunaan penyelesaian keselamatan siber yang lebih perlahan akibat tahap kesedaran perniagaan yang rendah. - DagangNews.com




