johardy07/08/2026 - 15:10 PUTRAJAYA 7 Ogos - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memulakan siasatan terhadap beberapa individu yang dikenal pasti dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH).
LHDN dalam kenyataan berkata, analisis risiko percukaian yang dijalankan mendapati terdapat ketidakpadanan antara pendapatan yang diisytiharkan oleh individu terbabit dengan pemilikan aset mereka.
Menurutnya, pegawai LHDN telah menjalankan serbuan di beberapa premis berkaitan bagi mendapatkan maklumat, meneliti dokumen serta mengesahkan fakta yang relevan dengan siasatan berkenaan.

"LHDN ingin menjelaskan bahawa semua semakan dan siasatan dilaksanakan secara profesional, berintegriti serta mengikut peruntukan undang-undang percukaian yang berkuat kuasa, tanpa prejudis terhadap mana-mana pihak.
"Tindakan selanjutnya hanya akan ditentukan selepas maklumat dan bukti yang diperoleh sepanjang proses semakan dinilai," katanya.
Pada 29 Julai lalu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerbitkan laporan RCI setebal 211 halaman mengenai pengurusan dan operasi Tabung Haji bagi tempoh 2014 hingga 2020 menerusi laman webnya. - BERNAMA





