
SERDANG: Lirik lagu kumpulan sensasi K-Pop, BTS, menjadi suntikan motivasi buat atlet muda Melaka, Tan Li Ren untuk mencipta kejayaan apabila merangkul pingat emas acara 20,000 meter (m) jalan kaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), semalam.
Lebih manis, kejayaan atlet berusia 16 tahun itu hadir bersama rekod baharu temasya apabila mencatat masa 1 jam 59 minit 41.45 saat (s), sekali gus memadam rekod 2:05:47.02s milik Yee Zhi Xin dari Negeri Sembilan yang dilakukan pada SUKMA 2024 di Sarawak.
Dalam perlumbaan tersebut, pingat perak dimenangi wakil Wilayah Persekutuan, Kaarthiyani Parameswaran dengan catatan 2:01:40.80s manakala gangsa menjadi milik Afiqah Hana Ahmad dari Negeri Sembilan yang mencatat 2:03:10.19s.
Li Ren berkata, lagu I’m Fine dan Magic Shop nyanyian BTS, selain kata-kata serta inspirasi daripada ahli kumpulan itu, Jimin banyak membakar semangatnya untuk terus mengejar cita-cita dalam bidang olahraga.
“Saya nak berterima kasih kepada orang yang selalu motivasi saya dan selalu teman saya beri sokongan walaupun dia bukan orang yang saya pernah jumpa. BTS dan ahli kumpulan, Jimin. Dia selalu memberikan motivasi kepada saya dan memberi sokongan yang sangat besar.
“Saya tidak pernah berhubung dengannya. Dia seorang artis dari Korea namun lagu serta kata-katanya membuatkan saya mahu mengejar cita-cita,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Li Ren yang berasal dari Bukit Baru, Melaka dan kini menuntut di Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) berkata, kejayaan itu cukup bermakna kerana ia merupakan penampilan sulungnya di pentas SUKMA.
“Saya tidak percaya saya dapat menghabiskan 50 lap ini. Rasa banyak. Orang yang saya sebut tadi membuatkan saya mahu mendapatkan kejayaan lebih besar dan pergi ke pentas yang lebih besar,” katanya.
Mengulas mengenai kejayaan tersebut, Li Ren berkata, kekecewaan yang dialaminya tiga tahun lalu pada kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) menjadi pembakar semangat buatnya selepas dia gagal berada dalam kelompok tiga terbaik.
“Tahun ini saya sasarkan emas. Ini permulaan saya untuk pergi ke peringkat yang lebih besar,” katanya.
Mengenai sasaran seterusnya, Li Ren berkata, dia mahu mencuba nasib di pentas yang lebih tinggi iaitu Sukan Olimpik Remaja dekat Senegal pada Oktober ini.
“Saya mahu ke Sukan Olimpik Remaja. Ini adalah permulaan untuk saya pergi ke peringkat yang lebih besar,” katanya. – UTUSAN
The post Li Ren pecah rekod, BTS jadi inspirasi appeared first on Utusan Malaysia.






