
SERDANG: Atlet muda dari Sabah, Gerfan Nigel Frank mencipta kejutan pada penampilan sulungnya di Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 apabila merangkul pingat emas dalam acara lompat bergalah lelaki di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.
Meskipun baru berusia 16 tahun, Gerfan membuktikan kematangannya apabila berjaya mengatasi pencabar lain dengan catatan lompatan setinggi 4.55 meter (m).
Lebih manis, kemenangan tersebut dianggap sebagai satu bonus buat anak jati Sipitang itu memandangkan fokus utamanya lebih kepada memperbaiki catatan peribadi terbaiknya (PB) iaitu 4.60m.

“Sebenarnya saya tidak meletakkan sasaran untuk memenangi emas. Sasaran saya hanyalah untuk mengatasi PB sendiri. Pesan jurulatih juga sama, paling penting adalah PB manakala pingat itu adalah bonus.
“Sudah tentu saya sangat gembira dengan pencapaian ini, apatah lagi ini adalah kali pertama saya beraksi di pentas SUKMA,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Pingat perak dimenangi oleh wakil Kedah, Abu Bakar Abdul Wahid yang melakukan lompatan 4.40m manakala gangsa diraih oleh Darell Kit Ric Yee dengan catatan 4.30m.
Pelajar Sekolah Sukan Malaysia Sabah itu berkata, selain kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) pada September ini dia juga akan berusaha mendapatkan slot bagi beraksi di pentas Sukan Olimpik Remaja dekat Senegal pada Oktober ini.
“SUKMA ini adalah titik permulaan bagi saya untuk melangkah ke tahap yang lebih tinggi. Saya mahu menggunakan momentum ini untuk terus cemerlang dalam kejohanan akan datang,” katanya. – UTUSAN
The post Gerfan tidak sangka bawa pulang emas appeared first on Utusan Malaysia.






