
SERDANG – Atlet muda Melaka, Tan Li Ren mencipta sensasi apabila bukan sahaja meraih pingat emas acara 20,000 meter (m) jalan kaki wanita, malah memecahkan rekod kejohanan pada Sukma Selangor 2026 di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.
Li Ren, 16, yang membuat penampilan sulung di pentas Sukma, menampilkan aksi cemerlang untuk melintasi garisan penamat dengan catatan 1 jam 59 minit 41.45 saat (s), sekali gus muncul satu-satunya peserta mencatat masa di bawah dua jam.
Catatan itu menyaksikan pelari kelahiran Bukit Baru, Melaka tersebut memperbaharui rekod kejohanan 2:05:47.02s milik atlet Negeri Sembilan, Yee Zhi Xin yang dilakukan pada edisi terakhir Sukma Sarawak 2024.
Lebih manis, Li Ren akhirnya berjaya menebus kekecewaan selepas tiga tahun berturut-turut gagal menempatkan diri dalam kelompok tiga terbaik pada Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) akibat kesilapan teknikal.
Kejayaan memecahkan rekod yang baru berusia dua tahun itu sekali gus melengkapkan penampilan sulung cukup istimewa buat Li Ren di pentas Sukma, selain menghadiahkan satu lagi pingat emas kepada kontinjen Melaka. KOSMO! ONLINE
The post Sukma 2026: Li Ren pecah rekod 20,000m appeared first on Kosmo Digital.






