Lian Ker cabar Anthony Loke, Chong Zhemin nyata pendirian rasmi DAP mengenai konsep 'Malaysian Malaysia'

LocalPolitics
14 Aug 2026 • 3:06 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lian Ker cabar Anthony Loke, Chong Zhemin nyata pendirian rasmi DAP mengenai konsep 'Malaysian Malaysia'
Lian Ker (kiri) Anthony Loke dan Chong Zhemin

SHAH ALAM - Bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker mencabar dua pemimpin DAP iaitu Anthony Loke dan Chong Zhemin supaya menjelaskan secara terbuka pendirian parti itu berhubung konsep 'Malaysian Malaysia' dan beberapa perkara lain yang turut diperjuangkannya.

Beliau berkata, penjelasan itu penting susulan DAP yang kini dilihat membangkitkan pendirian Pas mengenai isu perjudian, sedangkan parti berkenaan pernah menjalinkan kerjasama politik dalam Pakatan Rakyat sebelum ini.

Menurutnya, DAP sememangnya mengetahui pendirian parti berkenaan berkaitan perjudian serta agenda politik Islam ketika kedua-duanya bekerjasama.

"Dengan membangkitkan isu pendirian Pas mengenai perjudian, DAP sepatutnya menjawab dan mempertahankan pendiriannya sendiri bukannya mengheret MCA ke dalam pertikaian politik antara DAP dengan Pas.

"MCA juga berhak mencabar DAP supaya menjelaskan secara terbuka pendirian rasmi DAP mengenai perkara-perkara yang pernah menjadi sebahagian daripada perjuangan dan wacana 'Malaysian Malaysia' termasuk persoalan mengenai kedudukan Bumiputera, dasar afirmatif serta kedudukan bahasa.

"Adakah pendirian tersebut masih menjadi agenda rasmi DAP hari ini, atau ia hanyalah pendirian masa lalu yang telah ditinggalkan? Jika sudah berubah, nyatakan dengan jelas bila dan bagaimana ia berubah. Jika masih menjadi agenda, nyatakan secara terbuka kepada rakyat Malaysia," katanya menerusi satu hantaran di media sosial pada Jumaat.

Chong Zhemin yang juga Ahli Parlimen Kapar pada Khamis meminta MCA dan MIC supaya menyatakan pendirian secara terbuka berhubung pengisytiharan Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP) yang mewajibkan pengundi Islam menyokong parti itu dan sekutunya bagi menawan Putrajaya sebagai memastikan pengeluaran dan pembaharuan lesen premis judi dapat dihentikan.

Ketua Penerangan DUPP, Mohd Nor Hamzah, sebelum itu dilapor berkata, langkah mewajibkan orang ramai mengundi Pas adalah satu-satunya jalan untuk memastikan pengeluaran dan pembaharuan lesen premis judi dapat dihentikan.

Kenyataan Pas itu menyusul selepas Mahkamah Persekutuan pada Rabu menolak permohonan kerajaan Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu keputusan pembatalan arahan menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen premis judi.

Mengulas lanjut, Lian Ker berkata, DAP sebelum ini pernah mengkritik MCA kerana dilihat sebagai terlalu bergantung kepada UMNO, namun pada masa sama parti itu kini bekerjasama secara politik melalui Kerajaan Perpaduan.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan sama ada DAP bersedia menggunakan ukuran yang sama terhadap keputusan politiknya sendiri seperti yang pernah digunakan terhadap MCA.

“DAP telah mengubah rakan politiknya sebelum ini. DAP pernah bekerjasama dengan Pas, kemudian menentang Pas. DAP pernah menentang UMNO, kemudian bekerjasama dengan UMNO. Itulah politik.

“Tetapi jika pragmatisme politik boleh diterima apabila dilakukan oleh DAP, mengapa MCA pula harus dihukum atau dikecam setiap kali MCA membuat pertimbangan politiknya sendiri?” soal beliau.

Menerusi kenyataan sama, beliau turut mencabar DAP supaya berdebat secara langsung dengan Pas mengenai dasar perjudian sekiranya isu berkenaan benar-benar menyentuh soal prinsip dan dasar.

“Jika ini benar-benar soal prinsip, berdebatlah dengan Pas. Jika ini soal dasar, bahaskan di Parlimen.

“Jangan gunakan isu Pas untuk mengapi-apikan MCA dan UMNO,” katanya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved