amree15/05/2026 - 18:00 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 15 Mei — Lianson Fleet Group Berhad berhasrat mengambil alih sebuah kapal tangki kimia jenis jarak sederhana bernama MT High Tide yang bernilai AS$28.45 juta (kira-kira RM111.85 juta).
Kumpulan tersebut berkata, pelaburan itu akan dibuat menerusi syarikat usaha sama (JV) tidak langsungnya, Nusantara Maritime Sdn Bhd (NMSB) atau syarikat tujuan khas (SPC) yang dinamakan kemudian.
Kapal terpakai yang dibina pada 2012 itu memiliki kapasiti muatan 49,999 tan berat mati (DWT) dan akan diperoleh daripada d'Amico Tankers Designated Activity Company yang berpangkalan di Ireland.
"Pemerolehan ini sebahagian strategi bagi mempelbagaikan portfolio aset marin dan mengurangkan kebergantungan kepada satu kitaran industri sahaja," maklum Lianson Fleet kepada Bursa Malaysia.
Segmen kapal tangki produk petroleum mempunyai profil permintaan berbeza daripada kapal sokongan luar pesisir dan perdagangan komoditi serantau yang menjadi fokus utama kumpulan ketika ini.
Sehubungan itu jelas syarikat berkenaan, sebagai usaha membiayai transaksi pembelian tersebut, setiap pemegang saham NMSB akan menyumbang modal berdasarkan kepada pegangan masing-masing.
Lianson Fleet ujarnya, yang memiliki kira-kira 45% kepentingan dijangka menyuntik sebanyak AS$3.8 juta (RM14.9 juta) dengan menggunakan sumber rizab tunai secara dalaman kumpulan itu sendiri.
"NMSB turut dimiliki oleh Precious Shipping (Singapore) Pte Ltd yang menguasai sebanyak 45% dan Emstraits Navigation Sdn Bhd dengan memegang baki kepentingan kira-kira 10%," tambah kumpulan itu.
Menurut syarikat itu, prospek kapal tangki jarak sederhana dijangka terus disokong pertumbuhan perdagangan produk petroleum bertapis global, serta kekangan bekalan kapal baharu di pasaran.
Ujar Lianson Fleet, kerjasama bersama rakan JV yang berpengalaman juga membolehkan kumpulan itu mengurangkan risiko operasi dan kemasukan pasaran sambil mengekalkan fleksibiliti kewangannya.
Pengambilalihan dijangka selesai menjelang Oktober 2026 serta akan memberi sumbangan positif kepada pendapatan kumpulan mulai tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026. - DagangNews.com





