amree13/10/2026 - 18:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 13 Okt – Lianson Fleet Group Berhad membeli sebuah kapal pengangkut pukal bernilai AS$23 juta (kira-kira RM93.9 juta) bagi memperluaskan armada pengangkutan marinnya serta menjana pendapatan secara berulang menerusi potensi kontrak sewaan jangka panjang.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata anak syarikat milik penuhnya, LFG Cengal Limited, menyempurnakan pemerolehan kapal berkenaan yang dinamakan LFG Cengal daripada pihak ketiga yang tidak mempunyai kaitan dengan syarikat tersebut pada 13 Oktober 2026.
Ujarnya, kapal terpakai jenis 'ultramax bulk carrier' itu dibina di Jepun pada Mei 2013 dengan mempunyai kapasiti muatan berat sebanyak 61,446 tan metrik, di samping panjang yang mencecah 199.98 meter serta turut dilengkapi berjumlah lima ruang kargo dan lima bukaan kargo.
"Pemerolehan berkenaan dibiayai sepenuhnya dengan hanya menggunakan dana yang dijana secara dalaman, tanpa melibatkan sebarang liabiliti atau jaminan yang perlu ditanggung kumpulan berkaitan urus niaga tersebut," jelas kenyataan Lianson Fleet tersebut.
Harga pembelian dipersetujui berdasarkan rundingan antara pembeli dan penjual, mengambil kira nilai pasaran serta harga transaksi kapal pengangkut pukal yang setanding dari segi usia dan spesifikasi, status pensijilan kelas kapal serta potensi pendapatan masa depannya.
Menurut kumpulan berkenaan, pemerolehan tersebut juga selaras dengan strategi syarikat untuk terus memperbesarkan armada pengangkutan marin dan pada masa yang sama dapat mempelbagaikan perniagaan melangkaui segmen kapal sokongan luar pesisir.

Kapal baharu itu dijangka menyumbang kepada aliran pendapatan berulang melalui peluang sewaan dan kadar penggunaan yang tinggi, sekali gus meningkatkan keterlihatan pendapatan Lianson Fleet dalam keadaan permintaan pengangkutan pukal yang menyokong pasaran.
"Permintaan dan kadar sewaan kapal pengangkut pukal kekal disokong aliran perdagangan serantau bagi kargo pukal dan komoditi. Perjalanan kargo pada jarak lebih jauh susulan gangguan perdagangan serta ketidakseimbangan penawaran dan permintaan serantau turut menyokong aktiviti," katanya.
Dari segi kewangan, pemerolehan itu dijangka menyumbang kepada hasil bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 dan tahun-tahun berikutnya menerusi hasil sewaan kapal. Bagaimanapun, ia tidak dijangka memberi kesan material kepada aset bersih bagi tahun kewangan 2026.
Urus niaga itu tidak memberi kesan kepada modal saham terbitan, pegangan pemegang saham utama atau tahap penggearan Lianson Fleet. Pemerolehan juga tidak memerlukan kelulusan pemegang saham atau pihak berkuasa kerana dilaksanakan dalam perjalanan biasa perniagaan.
Lembaga pengarah berpandangan pemerolehan kapal itu adalah demi kepentingan terbaik, namun masih terdedah kepada risiko lazim industri perkapalan, termasuk perubahan permintaan dan penawaran, kerosakan atau kelewatan operasi serta risiko pihak penyewa gagal memenuhi obligasi kontrak. - DagangNews.com



