MISC peroleh kontrak 5 kapal pengangkut LNG disewa PETRONAS selama 20 tahun mulai 2030

LocalBusiness & Finance
8 Oct 2026 • 5:45 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MISC peroleh kontrak 5 kapal pengangkut LNG disewa PETRONAS selama 20 tahun mulai 2030 Image from: MISC peroleh kontrak 5 kapal pengangkut LNG disewa PETRONAS selama 20 tahun mulai 2030 amree08/10/2026 - 17:45 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 8 Okt — MISC Berhad memperoleh surat penganugerahan (LOA) daripada PETRONAS LNG Ltd (PLL) bagi penyewaan jangka panjang lima kapal pengangkut gas asli cecair (LNG) baharu selama 20 tahun setiap satu, dengan operasi dijangka bermula pada 2030.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat perkapalan tempatan tersebut menyatakan, kontrak terbaharu berkenaan diterima pada 7 Oktober 2026 dan menjadi asas kepada proses pemuktamadan perjanjian sewaan kapal.

 

Seiring dengan projek tersebut, kumpulan akan memeterai kontrak pembinaan kapal dengan Hudong-Zhonghua Shipbuilding (Group) Co Ltd (HZ) di China bagi membina kelima-lima kapal pengangkut LNG baharu berkenaan.

 

"Projek tersebut merupakan inisiatif strategik untuk kumpulan memanfaatkan jangkaan pertumbuhan pengeluaran LNG PETRONAS, selain menyokong program pembaharuan armada kapal LNG syarikat," jelas kenyataan MISC.

 

Lima kapal baharu itu ujarnya, akan menampilkan teknologi lebih moden dan cekap dengan sasaran mengurangkan pelepasan gas rumah hijau serta intensiti pelepasan keseluruhan operasi.

 

Pada masa sama katanya, kumpulan akan menyediakan perkhidmatan pengangkutan LNG menerusi anak syarikat milik penuhnya, dengan tempoh sewaan tetap selama 20 tahun bagi setiap kapal.

 

MISC_DagangNews2026

 

Menurut MISC, kontrak sewaan itu turut melibatkan risiko komersial, pelaksanaan projek dan operasi yang lazim dalam industri perkapalan LNG, namun kumpulan akan mengambil langkah mitigasi menerusi kawalan sedia ada, pengalaman serta kepakaran operasi.

 

"PLL ialah syarikat liabiliti terhad yang diperbadankan di Labuan dan terlibat dalam aktiviti jual beli LNG, penyewaan kapal LNG serta pengangkutan dan pembekalan LNG," jelas kumpulan tersebut.

 

Ia juga ialah anak syarikat tidak langsung milik penuh Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), yang juga merupakan syarikat induk MISC, manakala HZ ialah antara perusahaan pembinaan kapal terbesar di bawah China State Shipbuilding Corporation Ltd.

 

MISC berkata projek itu tidak memerlukan kelulusan pemegang saham syarikat atau mana-mana pihak berkuasa kerajaan serta tidak memberi kesan kepada modal saham dan struktur pegangan pemegang saham utama kumpulan.

 

Projek tersebut juga tidak dijangka memberi kesan material terhadap kedudukan kewangan MISC bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026, termasuk keuntungan sesaham, nisbah penggearan dan aset bersih sesaham.

 

"Lembaga Pengarah MISC, kecuali pengarah yang ada kepentingan, berpandangan projek itu adalah demi kepentingan terbaik kumpulan, adil, munasabah serta dilaksanakan atas terma komersial biasa tanpa menjejaskan pemegang saham minoriti," katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved