amree08/10/2026 - 12:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 8 Okt — Life Water Berhad membeli sebidang tanah bersama kompleks pejabat dan bengkel di Taman Industri Kota Kinabalu (KKIP), Sabah yang bernilai RM15 juta bagi menyokong pengembangan operasi kumpulan tersebut.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, langkah pembelian itu menarik kerana sebanyak RM12.75 juta atau 85% daripada nilai pemerolehan akan dibiayai menerusi pinjaman bank, manakala baki menggunakan dana dijana secara sumber dalaman.
Kumpulan tersebut menambah, pemerolehan itu dilaksanakan menerusi anak syarikat milik penuhnya, Green Borneo Industries Sdn Bhd (GBI) yang memeterai perjanjian jual beli (SPA) dengan Kee Foh Haw Sdn Bhd pada 7 Oktober 2026.
"Hartanah ini terletak di Lot 10, Jalan 1F, Industrial Zone 4 dengan keluasan kira-kira 1.21 hektar atau 12,100 meter persegi, selain mempunyai sebuah kompleks pejabat dan bengkel yang seluas 1,793 meter persegi," kata Life Water.
Ujarnya, hartanah berusia kira-kira 20 tahun itu mempunyai tempoh pajakan selama 99 tahun yang akan tamat pada 31 Disember 2110 dengan dicadangkan untuk digunakan sebagai gudang bagi keperluan operasi kumpulan berkenaan.
Menurutnya, lokasi hartanah adalah strategik kerana berdekatan kemudahan pembuatan GBI beroperasi di KKIP, sekali gus dijangka meningkatkan kecekapan operasi dan menyediakan ruang tambahan bagi pengembangan perniagaan.

Subsidiari itu terlibat perniagaan pembuatan air minuman, manakala Kee Foh Haw dalam perdagangan barang pengguna dan komoditi, jualan serta pengangkutan diesel, perkhidmatan logistik, pertanian dan penyewaan hartanah.
"Harga pembelian RM15 juta dipersetujui berdasarkan asas 'kesediaan pembeli dan penjual', dengan mengambil kira lokasi strategik hartanah serta nilai pasaran hartanah industri di kawasan sekitarnya," laya kumpulan itu.
Bagaimanapun, Life Water berkata, pemerolehan itu mempunyai risiko berkaitan urus niaga hartanah, termasuk kegagalan memenuhi syarat SPA serta status hak milik yang masih belum disempurnakan pemindahannya kepada penjual.
Ia namun tidak menjangkakan pemerolehan itu memberi kesan material terhadap keuntungan, pendapatan sesaham dan aset bersih bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027, manakala kesan penggearan bergantung kepada jumlah pinjaman bank.
Lembaga pengarah berpandangan pembelian itu adalah adil dan munasabah serta demi kepentingan kumpulan, dengan transaksi tersebut tidak memerlukan kelulusan pemegang saham atau mana-mana pihak berkuasa kawal selia.
"Urus niaga ini dijangka dapat diselesaikan selepas semua syarat SPA dipenuhi serta penyerahan milikan kosong hartanah kepada GBI," kata Life Water. - DagangNews.com





