
Libat Kepentingan Rakyat, Radzi Jidin Gesa Tempoh Perbahasan RCI Tabung Haji Di Dewan Rakyat Ditambah
Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin menggesa tempoh Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bagi membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji dipanjangkan sekurang-kurangnya kepada dua hari bagi memastikan setiap dapatan dan syor dapat dibahaskan secara menyeluruh.
Ahli Parlimen Putrajaya itu berkata, beliau telah mengemukakan surat rasmi kepada Perdana Menteri merangkap Ketua Majlis Dewan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung cadangan berkenaan.
Menurut Dr Radzi Jidin, Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang dijadualkan berlangsung pada 11 Ogos ini seharusnya diberikan tempoh yang lebih panjang memandangkan laporan RCI Tabung Haji melibatkan kepentingan jutaan pendeposit serta menyentuh isu tadbir urus dan integriti institusi kewangan Islam negara.
Katanya, cadangan itu juga selaras dengan saranan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, supaya Ahli-Ahli Parlimen diberikan ruang dan masa yang mencukupi untuk membahaskan setiap dapatan, syor serta tindakan susulan kerajaan secara menyeluruh.
"Laporan RCI ini melibatkan kepentingan jutaan pendeposit Tabung Haji serta umat Islam di negara ini. Setiap dapatan dan syor yang dikemukakan perlu diberikan perhatian serta penjelasan yang sewajarnya," ujarnya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Baca juga:Beliau berkata, tempoh perbahasan selama sehari seperti yang dijadualkan ketika ini tidak mencukupi untuk membolehkan Ahli-Ahli Parlimen meneliti keseluruhan kandungan laporan serta mengemukakan pandangan secara menyeluruh.
Menurutnya, Ahli Parlimen perlu diberikan peluang seluas-luasnya untuk mengambil bahagian dalam perbahasan, mendapatkan penjelasan daripada kerajaan serta meneliti tindakan susulan terhadap setiap syor yang dikemukakan oleh Suruhanjaya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya Mesyuarat Khas Dewan Rakyat dipanjangkan sekurang-kurangnya kepada dua hari persidangan.
Katanya, langkah tersebut penting bagi memastikan lebih ramai Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang dapat melaksanakan tanggungjawab mereka dalam membahaskan laporan RCI Tabung Haji secara menyeluruh.
"Tempoh perbahasan yang mencukupi akan membolehkan lebih ramai Ahli Parlimen mengambil bahagian dan mengemukakan pandangan yang bernas demi memperkukuh tadbir urus, ketelusan serta pengurusan Tabung Haji pada masa hadapan," katanya.







