johardy03/08/2026 - 08:00 Oleh Dr. Nur Syaedah Kamis editor@dagangnews.com Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuh tadbir urus institusi awam di Malaysia.
Walaupun perhatian masyarakat banyak tertumpu kepada penemuan dan syor yang dikemukakan, hakikat yang lebih penting ialah bagaimana laporan tersebut dapat menjadi pemangkin kepada reformasi institusi yang mampan.
Bagi sebuah institusi yang menguruskan simpanan lebih sembilan juta pendeposit Islam, isu tadbir urus bukan sekadar berkaitan prestasi kewangan, malah turut menyentuh soal amanah, integriti dan kepercayaan masyarakat.
Allah SWT berfirman:
"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan apabila kamu menetapkan hukum dalam kalangan manusia, hendaklah kamu menghukum dengan adil." (Surah al-Nisa': 58)
Ayat ini menjadi asas kepada konsep tadbir urus Islam, iaitu setiap pemegang amanah wajib melaksanakan tanggungjawab secara adil, telus dan bertanggungjawab.
Dalam konteks Tabung Haji, amanah tersebut bukan sahaja melibatkan pengurusan dana pendeposit, malah turut merangkumi tanggungjawab memelihara keyakinan umat Islam terhadap institusi yang diwujudkan bagi memudahkan urusan menunaikan ibadah haji.
Dari perspektif perundangan, Tabung Haji ditubuhkan di bawah Akta Tabung Haji 1995 [Akta 535] yang memperuntukkan fungsi, kuasa dan tanggungjawab Lembaga Tabung Haji dalam menguruskan deposit, pelaburan dan kebajikan pendeposit.
Walau bagaimanapun, pematuhan kepada akta sahaja tidak memadai sekiranya tidak disokong oleh sistem tadbir urus yang berkesan.
Sebagai sebuah institusi yang menguruskan dana awam dalam skala besar, Tabung Haji juga perlu menghayati prinsip yang digariskan dalam Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia, khususnya yang berkaitan dengan kebebasan Lembaga Pengarah, pengurusan risiko, integriti, ketelusan dan akauntabiliti.
Laporan RCI memperlihatkan bahawa kelemahan tadbir urus lazimnya bukan berpunca daripada satu keputusan yang silap, sebaliknya daripada kelemahan sistem yang membenarkan risiko tersebut berlaku.
Apabila sempadan antara tadbir urus dengan pentadbiran menjadi kabur, mekanisme semak dan imbang menjadi lemah, konflik kepentingan tidak diuruskan dengan baik serta budaya akauntabiliti semakin terhakis, institusi akan lebih terdedah kepada salah urus walaupun mempunyai objektif yang murni.
Integriti sebagai asas tadbir urus Islam
Dalam Islam, akauntabiliti tidak terhad kepada pengawasan manusia semata-mata.
Setiap pemegang amanah juga bertanggungjawab di hadapan Allah SWT. Firman-Nya:
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul, dan janganlah kamu mengkhianati amanah yang dipercayakan kepada kamu, sedangkan kamu mengetahui." (Surah al-Anfal: 27)
Prinsip ini memberikan dimensi yang lebih luas kepada tadbir urus. Integriti bukan sekadar mengelakkan pelanggaran undang-undang, tetapi membentuk kesedaran bahawa setiap keputusan akan dipersoalkan di dunia dan di akhirat.
Nilai inilah yang membezakan tadbir urus Islam daripada pendekatan konvensional yang lebih menumpukan kepada pematuhan prosedur dan penguatkuasaan.
Selain itu, aspek pencegahan rasuah dan penyalahgunaan kuasa perlu terus diperkasakan. Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694], khususnya Seksyen 17A mengenai liabiliti organisasi, menegaskan bahawa organisasi perlu mempunyai prosedur yang mencukupi bagi mencegah perlakuan rasuah.
Prinsip ini amat relevan kepada semua institusi amanah kerana tadbir urus yang baik bukan sekadar bertindak selepas berlakunya pelanggaran, tetapi membina sistem yang mampu mencegah risiko sebelum ia berlaku.
Lebih penting lagi, reformasi tadbir urus perlu mengambil kira Maqasid Syariah, khususnya objektif *hifz al-mal* (memelihara harta).
Dana yang diuruskan oleh Tabung Haji bukan sekadar aset kewangan, tetapi merupakan amanah umat Islam yang perlu diuruskan secara berhemat, telus dan bertanggungjawab.
Oleh itu, setiap keputusan pelaburan hendaklah menyeimbangkan pulangan kewangan dengan pengurusan risiko, pematuhan syariah serta kepentingan jangka panjang para pendeposit.
Reformasi perlu diterjemahkan kepada tindakan
Sehubungan itu, reformasi pasca-RCI tidak seharusnya terhenti setakat pelaksanaan syor semata-mata.
Sudah tiba masanya Akta Tabung Haji 1995 diteliti semula bagi memasukkan elemen tadbir urus yang lebih komprehensif, termasuk penilaian berkala terhadap keberkesanan Lembaga Pengarah, dasar pengurusan konflik kepentingan, mekanisme perlindungan pemberi maklumat (whistleblower), keperluan pendedahan tadbir urus yang lebih telus serta pengukuhan fungsi audit dan pengurusan risiko.
Langkah ini akan memperkukuh kepercayaan awam dan memastikan institusi sentiasa bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
Pengajaran daripada RCI Tabung Haji bukan sahaja relevan kepada Tabung Haji, malah kepada semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan berkanun dan institusi kewangan Islam di Malaysia.
Reputasi sesebuah institusi Islam bukan hanya bergantung pada pematuhan syariah dalam produk dan transaksi, tetapi juga pada kekuatan tadbir urus yang mendukung amanah, keadilan, integriti dan akauntabiliti.
Akhirnya, reformasi sebenar bukan diukur melalui jumlah syor yang berjaya dilaksanakan, tetapi sejauh mana nilai tersebut berjaya diterapkan sebagai budaya organisasi.
Kepercayaan rakyat ialah aset yang paling bernilai bagi mana-mana institusi. Apabila undang-undang yang baik diperkukuh dengan tadbir urus yang berintegriti serta dipandu oleh nilai-nilai Islam, barulah sesebuah institusi benar-benar mampu melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya, sekali gus menjadi contoh kepada institusi awam yang lain. - DagangNews.com






