RCI Tabung Haji: Rafizi Persoal Status Bayaran Zakat Pendeposit

LocalPolitics
3 Aug 2026 • 2:24 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

RCI Tabung Haji: Rafizi Persoal Status Bayaran Zakat Pendeposit

RCI Tabung Haji: Rafizi Persoal Status Bayaran Zakat Pendeposit

Pengasas BERSAMA, Datuk Seri Rafizi Ramli menggesa kerajaan, Lembaga Tabung Haji (TH) dan institusi agama tampil memberikan penjelasan segera berhubung isu status pembayaran zakat pendeposit yang dibangkitkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji, khususnya bagi tempoh 2016 hingga 2019.

Dalam satu kenyataan hari ini, Rafizi berkata, dapatan RCI itu menimbulkan persoalan penting sama ada zakat simpanan pendeposit bagi tempoh berkenaan telah disempurnakan mengikut hukum syarak.

Menurut beliau, Perdana Menteri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) perlu menjelaskan tindakan yang telah diambil kerajaan bagi menangani perkara tersebut.

“Perdana Menteri dan Menteri Agama perlu menjelaskan apakah tindakan kerajaan untuk menangani perkara ini yang menimbulkan keresahan dalam kalangan pendeposit Tabung Haji, terutamanya bagi tempoh 2016 hingga 2019.

“Adakah Kerajaan MADANI setelah mengambil alih, telah melunaskan zakat bagi pihak pendeposit bagi tempoh tersebut?” katanya.

Baca juga:

Rafizi berkata, laporan RCI yang diwartakan minggu lalu antara lain menyimpulkan bahawa pertukaran akad simpanan TH daripada Mudarabah kepada Wadi'ah Yad Dhamanah pada 2016 telah mengubah kedudukan pembayaran zakat bagi pihak pendeposit.

Menurutnya, di bawah akad Mudarabah, TH bertanggungjawab membayar zakat daripada keuntungan pelaburan sebelum hibah diagihkan kepada pendeposit.

Bagaimanapun, ujarnya, selepas akad itu ditukar kepada Wadi'ah Yad Dhamanah, hubungan tersebut berubah apabila TH dianggap sebagai peminjam kepada wang simpanan pendeposit.

“Keadaan itu menyebabkan zakat yang dibayar oleh TH hanyalah bagi pihak institusi tersebut, manakala pendeposit berkemungkinan masih bertanggungjawab membayar zakat simpanan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, Suruhanjaya Diraja turut berpandangan bahawa penggunaan keuntungan pelaburan untuk membiayai sebahagian subsidi haji di bawah akad Mudarabah tidak selaras dengan konsep akad berkenaan kerana ia dilakukan tanpa persetujuan pendeposit sebagai rakan kongsi.

Sehubungan itu, Rafizi turut menggesa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), para mufti serta institusi ilmuan agama mengeluarkan panduan yang jelas kepada pendeposit, selain menasihati kerajaan dan TH mengenai langkah penyelesaian terbaik.

“TH perlu mengeluarkan kenyataan untuk menjelaskan apa yang telah dibuat bagi melepaskan pendeposit daripada tanggungjawab Islam membayar zakat, tatkala mereka menyangka zakat tersebut telah dibayar oleh TH,” tegasnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved