johardy01/08/2026 - 16:51 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 1 Ogos — Persatuan Senior Kewangan Islam (ARIF) menggesa pelantikan individu yang memegang jawatan politik aktif sebagai pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dalam sektor kewangan Islam dihentikan, sambil menyifatkan penemuan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji membuktikan perlunya tadbir urus yang lebih kukuh dan bebas.
Pengerusi ARIF, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid berkata, laporan RCI berhubung Tabung Haji wajar dijadikan titik perubahan untuk memperkukuh tadbir urus institusi kewangan Islam yang diamanahkan menguruskan dana awam, dengan menegaskan jawatan dalam Lembaga Pengarah tidak sepatutnya dijadikan ganjaran politik.
Sebaliknya ARIF berkata, setiap pelantikan hendaklah dibuat berasaskan merit, kecekapan profesional, integriti dan kebebasan dalam membuat pertimbangan demi memelihara keyakinan orang ramai terhadap institusi berkenaan.
"Laporan RCI menjadi peringatan penting bahawa tadbir urus yang kukuh, bebas dan profesional merupakan asas kepada kelestarian mana-mana institusi yang diamanahkan menguruskan dana awam serta kepercayaan masyarakat," kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Gesaan itu dibuat susulan antara syor utama RCI Tabung Haji yang mencadangkan supaya ahli politik yang masih aktif dilarang memegang jawatan pengerusi atau ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji serta anak-anak syarikatnya.
Pengerusi perlu bebas daripada pengaruh politik
Menggemakan kebimbangan yang dibangkitkan dalam laporan RCI, ARIF berkata individu yang memegang jawatan politik aktif tidak seharusnya dilantik sebagai pengerusi GLC dan GLIC berasaskan kewangan Islam kerana ia boleh mewujudkan konflik kepentingan, sama ada secara nyata atau berdasarkan persepsi awam.
Sebaliknya, jawatan tersebut perlu diisi oleh individu yang mempunyai pengalaman korporat, kredibiliti serta kebebasan untuk membuat pertimbangan secara objektif.
Menurut ARIF, jawatan pengerusi membawa tanggungjawab fidusiari yang besar terhadap pendeposit, pelabur dan rakyat, justeru ia perlu dilihat sebagai satu amanah awam, bukannya ganjaran atas kedudukan politik atau sumbangan kepada mana-mana pihak.
Persatuan itu berkata, tadbir urus yang baik amat penting khususnya bagi institusi yang menguruskan dana awam berasaskan kewangan Islam, memandangkan integriti dan akauntabiliti menjadi tunjang kepada keyakinan masyarakat.
Merit dan kecekapan mesti menjadi asas pelantikan
Selain jawatan pengerusi, ARIF berkata semua pelantikan ahli Lembaga Pengarah perlu dibuat berdasarkan kecekapan profesional serta pemahaman yang mencukupi mengenai kewangan Islam, tadbir urus, pengurusan risiko dan tanggungjawab fidusiari.
Persatuan itu turut mencadangkan supaya program orientasi, latihan tadbir urus dan pembangunan profesional berterusan diwajibkan kepada semua ahli Lembaga Pengarah bagi memastikan setiap keputusan yang dibuat selaras dengan objektif institusi.
ARIF berkata, sekiranya kerajaan tetap memutuskan untuk melantik individu yang aktif dalam politik sebagai ahli Lembaga Pengarah, mereka hendaklah memenuhi standard kompetensi profesional yang sama seperti pengarah korporat lain.
Mereka juga perlu mengikuti program pensijilan serta pembangunan profesional yang dikendalikan oleh institusi seperti Institut Pengarah Korporat Malaysia (ICDM) atau badan profesional lain yang setara.
Menurut ARIF, pelantikan yang berasaskan merit, kecekapan, integriti dan kebebasan merupakan prinsip asas yang perlu diterapkan dalam semua GLC dan GLIC berasaskan kewangan Islam bagi melindungi aset negara, memperkukuh tadbir urus serta memulihkan keyakinan rakyat terhadap institusi kewangan Islam negara. - DagangNews.com






