Lidah Pasir Pulau Kuraman terima dua pengiktirafan Malaysia Book of Records

11 Oct 2026 • 1:48 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lidah Pasir Pulau Kuraman terima dua pengiktirafan Malaysia Book of Records
Sijil MBOR disampaikan kepada Perbadanan Labuan bagi mengiktiraf beting pasir Pulau Kuraman.

LABUAN - Beting pasir di Pulau Kuraman, Labuan diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai beting pasir terpanjang di Malaysia dengan ukuran sepanjang 808.4 meter.

Dikenali sebagai Lidah Pasir dalam kalangan penduduk tempatan, kawasan itu turut diiktiraf sebagai beting pasir terdedah sepanjang 790.4 meter.

Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain berkata, pengiktirafan itu membuka peluang kepada kawasan berkenaan untuk dibangunkan sebagai tarikan pelancongan baharu di pulau itu.

"JWP merancang untuk membangunkan pulau ini bersama Perbadanan Labuan menerusi konsep pelancongan berasaskan komuniti dengan melibatkan penduduk kampung dalam usaha memelihara keindahan semula jadinya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas aktiviti gotong-rotong sempena program Bersih Setiap Tempat (Best) di Pulau Kuraman di sini pada Sabtu.

Pulau Kuraman berkeluasan 363 ekar merupakan antara 11 geopark di Labuan dan dianggarkan berusia 35 juta tahun.

Ia terletak berdekatan Pulau Rusukan Besar dan Pulau Rusukan Kecil yang turut mempunyai pengusaha chalet.

Muhammad Azmi berkata, JWP memberikan tempoh sebulan kepada Perbadanan Labuan untuk memulakan kerja-kerja pembangunan dengan kerjasama 27 kampung di sekitar Labuan.

"Jabatan akan menyediakan dana bagi usaha ini dan setiap kampung akan membina gazebo untuk kemudahan pengunjung beristirahat dan menjalankan aktiviti.

“Kalau kita tengok tadi, kayu-kayu itu kita boleh guna sebagai bangku. Kita tak nak ada struktur yang besar yang merosakkan keindahan beting pasir,” jelas beliau.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved