Liga Super: Awal musim sudah huru-hara

LocalFootball
29 Aug 2026 • 7:01 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Liga Super: Awal musim sudah huru-hara

PETALING JAYA: Belum sempat bahang Liga Super 2026/27 benar-benar terasa, pentas liga tertinggi bola sepak negara sudah disajikan pelbagai cerita daripada pasukan gagal beraksi, denda dan kemenangan percuma hinggalah kekalahan dengan jaringan besar.

Kuala Lumpur (KL) City menjadi pasukan pertama mencuri perhatian apabila gagal menurunkan barisan untuk menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 22 Ogos lalu selepas 15 pemain dan dua pegawai pasukan dilaporkan mengalami simptom influenza.

Namun, alasan kesihatan itu tidak berakhir dengan simpati apabila Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memutuskan Negeri Sembilan diberikan kemenangan 3-0 dan tiga mata, manakala KL City didenda RM50,000 selepas didapati gagal menguruskan pendaftaran pemain lebih awal.

Belum sempat isu itu reda, KL City sekali lagi menjadi tumpuan apabila hanya mampu menurunkan 10 pemain dalam kesebelasan utama ketika berdepan Kuching City, menjadikan permulaan musim buat kelab ibu negara itu ibarat sudah terperosok sebelum sempat mengatur langkah.

Sementara itu, nasib pendatang baharu Kelantan Red Warrior (KRW) FC pula tidak banyak berbeza apabila membuka kempen dengan kekalahan 1-4 kepada Selangor FC sebelum dibelasah juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT), 9-0, menyaksikan gawang mereka sudah dibolosi 13 kali hanya selepas dua perlawanan.

Rentetan keputusan itu pastinya mengundang persoalan sejauh mana KRW mampu bertahan dalam persaingan Liga Super selepas mendapat peluang beraksi di pentas tertinggi susulan penarikan diri PDRM FC.

Di sebalik drama di atas padang, Liga Super turut berdepan cabaran dari sudut kewangan apabila struktur agihan baharu menyaksikan jumlah keseluruhan berdasarkan kedudukan 12 pasukan merosot daripada RM13.7 juta kepada RM7.9 juta, iaitu susut RM5.8 juta atau 42.3 peratus berbanding struktur 2023 hingga 2025. -UTUSAN

The post Liga Super: Awal musim sudah huru-hara appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved