
ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) terus menunjukkan dominasi bola sepak tanah air apabila membelasah Kelantan Red Warrior FC (KRWFC) 9-0 pada aksi kedua Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam ini.
Kemenangan besar itu menyaksikan skuad Harimau Selatan meneruskan momentum selepas menjulang Piala Sumbangsih minggu lalu, selain merampas takhta Liga Super daripada Selangor FC.
JDT hanya memerlukan 80 saat untuk membuka tirai jaringan menerusi penyerang import baharu kelahiran Iran, Shahab Zaheditabar yang menghukum kealpaan benteng KRWFC.
Berselang 20 minit, JDT hampir menggandakan kelebihan apabila Molina Martinez gagal menyempurnakan hantaran Manuel Hidalgo apabila rembatan penyerang itu sekadar melewati gawang pasukan pelawat.
Tersentak dengan serangan demi serangan JDT, KRWFC cuba mencuri peluang untuk merapatkan jurang, namun barisan serangan mereka gagal menghasilkan sepakan penyudah yang mampu mengancam gawang tuan rumah.
Pada minit ke-27, JDT menyangka mereka sudah memperoleh gol kedua menerusi Eddy Israfilov, namun jaringan itu dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati berlaku kekasaran terlebih dahulu terhadap pemain pertahanan KRWFC.
Tidak patah semangat dengan pembatalan itu, JDT terus melancarkan serangan dan hasilnya Shahab kembali menemui sasaran pada minit ke-36 selepas menanduk kemas lambungan Arif Aiman untuk menggandakan kelebihan tuan rumah sebelum Muhammad Mohd. Fauzi tertampan bola ke gawang sendiri ketika cuba mengeluarkan hantaran Jonathan Silva, sekali gus menjadikan kedudukan 3-0.
Memasuki babak kedua, JDT ternyata masih dahagakan gol apabila terus melancarkan serangan bertali arus ke kubu KRWFC, seolah-olah belum puas dengan kelebihan tiga gol dimiliki.
Hanya empat minit selepas permainan bersambung, Jairo Silva menanduk kemas hantaran sepakan penjuru Hidalgo untuk menghasilkan gol keempat sebelum Shahab sekali lagi menggegar gawang lawan seminit kemudian bagi melengkapkan hatrik untuk menjadikan kedudukan 5-0.
Anak buah Irfan Bakti semakin tenggelam dalam tekanan apabila terpaksa bertahan bagi mengekang asakan bertali arus JDT, namun Shahab terus mengganas apabila melengkapkan gol keempat peribadinya pada minit ke-62 selepas menerima hantaran Afiq Fazail.
Kekecewaan Eddy Israfilov yang jaringan awalnya dibatalkan VAR akhirnya terubat apabila dia mencetak gol ketujuh JDT pada minit ke-80 selepas menyudahkan sepakan sudut Arif Aiman sebelum pemain itu sendiri meletakkan namanya dalam senarai penjaring menerusi gol kelapan pada minit ke-88.
Pesta gol Harimau Selatan akhirnya ditutup dengan jaringan kesembilan pada penghujung perlawanan, sekali gus menyaksikan KRWFC menjadi ‘lauk’ JDT dalam aksi yang memperlihatkan juara bertahan Liga Super itu tampil cukup lapar dan tidak mengenal belas kasihan di laman sendiri.-KOSMO! ONLINE
The post Liga Super: Kelantan Red Warrior kena ‘gomo’ JDT 9-0 appeared first on Kosmo Digital.






