
KUALA NERUS: Dua jaringan penyerang import kelahiran Brazil, Chrigor Moraes membantu Selangor FC membenam cabaran Terengganu FC (TFC) 3-0 dalam aksi kedua Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, di sini malam ini.
Satu lagi jaringan Selangor FC disumbangkan penyerang import bertubuh sasa berketurunan Belanda-Jamaica, Kay Tejan untuk memastikan Gergasi Merah mencatat kemenangan kedua berturut-turut.
Ketiga-tiga jaringan skuad bimbingan Kim Pan Gon hanya hadir pada babak kedua permainan termasuk dua jaringan dalam tempoh lima minit dalam perlawanan yang disaksikan kira-kira 11,500 penyokong itu.
Walaupun kedua-dua pasukan saling mengatur gerak serangan, Selangor FC dilihat lebih mengancam kubu lawan apabila mendapat empat sepakan penjuru dalam tempoh 30 minit pertama perlawanan.
Permainan menjadi rancak pada 10 minit terakhir babak pertama apabila kedua-dua pasukan mencipta gerakan berbahaya dimulai dengan percubaan penyerang import TFC, Gervane Kastaneer pada minit ke-36.
Penyerang skuad Piala Dunia Curacao 2026 itu hampir meletakkan TFC di hadapan namun bola tendangannya dapat dihadang Arbenit Xhemajli pada saat-saat akhir walaupun dia hanya berdepan penjaga gol Selangor FC, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman untuk ditewaskan.
Tiga minit sebelum perlawanan separuh masa pertama berakhir, Moraes hampir memecah kebuntuan jaringan namun bola yang dilencongnya mengenai palang walaupun penjaga gol TFC, Rahadiazli Rahalim sudah tertewas.
Bersambung babak kedua permainan, TFC terlepas peluang keemasan menjaringkan gol menerusi Kastaneer yang menyaksikan aksi menyelamat Sikh Izhan Nazrel menafikan percubaannya pada minit ke-49.
Jaringan pertama perlawanan akhirnya hadir pada minit ke-58 hasil serangan kilat Selangor FC yang dimanfaatkan Tejan yang menyambar bola muntah sebelum menendang masuk ke dalam gawang TFC.
Belum sempat anak buah Nafuzi Zain ‘mengambil nafas’ untuk bangkit, skuad Gergasi Merah sekali lagi menghukum pertahanan TFC pada minit ke-62 menerusi sentuhan Moraes yang dapat melepasi Rahadiazli untuk kedudukan jaringan 2-0.
Kesilapan Rahadiazli menendang bola ke kaki pemain lawan di hujung permainan dihukum Moraes untuk jaringan ketiga sekali gus memastikan Selangor FC membawa pulang tiga mata.
Perlawanan berkenaan turut menyaksikan Sikh Izhan Nazrel terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan selepas bertembung dengan penyerang naturalisasi negara, Romel Morales ketika perebutan bola di udara.
Keputusan itu menyaksikan Selangor FC kini menghuni tangga kedua Liga Super di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan mengumpul enam mata daripada dua perlawanan, namun dibezakan dengan jumlah jaringan. – UTUSAN
The post Liga Super: Selangor benam Terengganu 3-0 di Gong Badak appeared first on Utusan Malaysia.






