
KUALA NERUS – Selangor FC terlalu hebat buat Terengganu FC (TFC) apabila raih kemenangan 3-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, sebentar tadi.
Dua penyerang import The Red Giants menjadi duri dalam daging buat tuan rumah, menyaksikan Chrigor Moraes meledak dua gol manakala Kay Tejan menyumbangkan satu jaringan.
Terdahulu, Selangor FC tampil lebih dominan dan hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-12, namun percubaan Quentin Cheng sekadar melambung tinggi melepasi palang.
Bersambung babak kedua, TFC dilihat semakin agresif mencari gol, namun sepakan lemah Jordan Mintah pada minit ke-50 masih gagal mengubah kedudukan tuan rumah.
Bagaimanapun sewaktu TFC terlalu ghairah memburu gol, sebaliknya pelawat memanfaatkan peluang untuk memecah kebuntuan menerusi Tejan pada minit ke-58.
Selangor FC kemudian menggandakan kelebihan pada minit ke-62 apabila Moraes mudah menewaskan penjaga gol TFC, Rahadiazli Rahalim.
Malang buat pelawat apabila penjaga golnya, Sikh Izhan Sikh Azman terpaksa dikejarkan ke hospital pada minit ke-75 selepas bertembung dengan pemain TFC, Romel Morales.
Pada masa kecederaan, Moraes sekali lagi menghukum TFC apabila mudah menewaskan Rahadiazli untuk melengkapkan kemenangan 3-0 buat Selangor. – KOSMO! ONLINE
The post Liga Super: Selangor FC mudah atasi TFC appeared first on Kosmo Digital.






