Pan-gon dedah resipi kejayaan Selangor

29 Aug 2026 • 10:35 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pan-gon dedah resipi kejayaan Selangor
Pemain Selangor meraikan kemenangan menewaskan Terengganu 3-0 dalam aksi Liga Super Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Jumaat. Foto: Bernama

KEBIJAKSANAAN pemain memanfaatkan peluang terhidang selain ketahanan benteng pertahanan menyerap asakan lawan menjadi faktor utama kejayaan Selangor FC menewaskan Terengganu FC (TFC) 3-0 dalam aksi kedua Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Kuala Nerus pada Jumaat.

Skuad Red Giants memastikan tiga mata penuh menerusi dua jaringan Chrigor Moraes dan satu gol Kay Tejan pada babak kedua sekali gus melakar kemenangan kedua berturut-turut di gelanggang lawan.

Pengendali Selangor FC, Kim Pan-gon berkata, disiplin tinggi serta komitmen lebih 100 peratus pemain menjadi resepi kejayaan pasukannya menundukkan gergasi Pantai Timur itu dalam aksi yang berlangsung sengit.

"Apa yang pemain berikan sebenarnya lebih daripada apa yang saya minta, mereka menampilkan aksi yang sangat baik sehingga berjaya menjaringkan tiga gol di tempat lawan.

"Sudah pasti saya begitu bangga dengan corak permainan yang diperagakan semua pemain. Ini kerana perlawanan berkenaan sangat sukar termasuk dari segi cuaca, namun pemain kami tetap melakukan tugas dengan baik.

"Lebih menggembirakan kami mereka begitu berdisiplin ketika menyerang dan bertahan, perubahan taktikal pada babak kedua menyaksikan kami pulang dengan ceria," katanya.

Pan-gon mengakui beliau antara individu paling lega selepas anak buahnya berjaya mengharungi tekanan beraksi di hadapan lebih 11,000 penyokong fanatik TFC, selain menjangkakan pertemuan berintensiti tinggi selepas kedua-dua pasukan mencatat kemenangan pada aksi pembukaan liga.

Menurutnya, kehadiran ramai penyokong tuan rumah turut meningkatkan tahap persaingan, namun pemain Selangor berjaya mengekalkan ketenangan untuk mengawal permainan.

Dalam perkembangan lain, bekas pengendali skuad kebangsaan itu berharap kecederaan penjaga gol Sikh Izhan Sikh Azman tidak serius selepas pemain berkenaan bertembung dengan penyerang TFC, Romel Morales pada minit ke-75 hingga terpaksa dikejarkan ke hospital.

"Saya menerima laporan daripada pegawai perubatan pasukan ketika ini (malam tadi), penjaga gol itu berada di zon kuning, namun masih dapat berkomunikasi dengan baik, jadi kami harap tiada apa-apa yang serius berlaku kepadanya.

"Saya rasa kita semua juga perlu mendoakan kesembuhan yang terbaik buat penjaga gol itu," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved