
KOTA BHARU – Selangor FC menepati ramalan apabila membenam Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) 4-1 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, sebentar tadi.
Jurang kualiti dan pengalaman di pentas elit bola sepak tempatan jelas terlihat apabila skuad pelawat yang dikendalikan Kim Pan-gon mendominasi perlawanan sejak daripada awal sepak mula dan beberapa kali menduga gawang tuan rumah.
Situasi berkenaan menyaksikan anak didik Irfan Bakti Abu Salim dipaksa untuk lebih banyak bertahan sambil mencari peluang untuk melancarkan serangan balas ke kubu pelawat.
Skuad Gergasi Merah membuka jaringan melalui tandukan Chigor Moraes pada minit ke-17 selepas bijak membaca umpanan dilakukan rakan sepasukannya.
Terkejut dengan jaringan itu, skuad Pahlawan Merah cuba bangkit menggempur kubu pelawat dan berjaya memperoleh peluang untuk menyamakan kedudukan, tetapi sepakan percuma Emmanuel Mbarga pada minit ke-22 sedikit melewati palang gol.
Keghairahan menggempur kubu lawan menyebabkan pertahanan KRW FC sedikit longgar dan membolehkan pemain kebangsaan, Faisal Halim menjaringkan gol kedua pelawat pada minit ke-27.
Selangor FC terus menunjukkan penguasaan melalui beberapa serangan ke arah gawang tuan rumah namun kedudukan 0-2 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Selangor FC meneruskan dominasi pada babak kedua dan hanya memerlukan empat minit untuk merobek gawang KRW FC, sekali lagi menerusi sentuhan penyudah sempurna Faisal.
Ketinggalan tiga gol, KRW FC menggandakan usaha dan berjaya memperoleh gol saguhati melalui jaringan Philip Dandada Musa pada minit ke-60.
Gergasi Merah terus mengganas dan minit ke-75, Moraes sekali lagi mempamerkan bisa untuk melengkapkan jaringan keempat The Red Giants. – KOSMO! ONLINE
The post Liga Super: Selangor FC tepati ramalan benam KRW FC appeared first on Kosmo Digital.






