
PETALING JAYA – Johor akhirnya memecahkan penantian panjang apabila muncul juara bola sepak lelaki Sukan Malaysia (Sukma) buat kali pertama dalam sejarah selepas menewaskan Selangor menerusi penentuan sepakan penalti 4-2 pada aksi final yang mendebarkan, sebentar tadi.
Pada perlawanan itu, kedua-dua pasukan mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi apabila saling berbalas serangan sepanjang 120 minit perlawanan.
Johor selaku pasukan pelawat terlebih dahulu Berjaya memecahkan kebuntuan menerusi jaringan luar kotak penalti yang dijaringkan oleh Daniesh Amirruddin pada minit ke-20.
Tersentak dengan gol tersebut Selangor yang dibimbing I. Arulchelvan turut memberikan tentangan sengit dan berjaya mengimbangi semula permainan.
Skuad muda Merah Kuning hanya memerlukan 10 minit untuk menyamakan kedudukan semula hasil penyudah pemian sensasi, Haykal Danish Mohd Haizon.
Bersambung pada babak kedua, Johor dan Selangor saling berbalas serangan tetapi gagal menembusi benteng pertahanan kebal sehingga aksi terpaksa diheret ke masa tambahan.
Situasi sama masih berlaku sepanjang 30 minit masa tambahan dengan beberapa peluang keemasan berjaya dipatahkan oleh kecemerlangan kedua-dua penjaga gol.
Pada penentuan penalti, semua pemain JDT, Daniesh Amirruddin, Arayyan Hakeem Norizam, Izzuddin Afif Nazarudin, Naim Zainudin berjaya menyudahkan sepakan penalti yang diamanahkan.
Penjaga gol JDT, Danial Idraqi Mohd Asmir muncul wira apabila selamatkan dua sepakan pemain Selangor, Hafifi Muhtadee Billah Zailani dan Zarul Aidid Mokhtar untuk menghadiahkan pingat emas buat pasukan.
Sementara itu, pingat gangsa pula dimenangi Perak selepas menewaskan Pahang 4-0 di penentuan tempat ketiga. – KOSMO! ONLINE
The post Sukma 2026: Johor julang ‘ibu’ pingat emas appeared first on Kosmo Digital.






