Liga Super: Selangor tumpaskan KL City 3-0, kekal rekod tanpa kalah

13 Sep 2026 • 10:58 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Liga Super: Selangor tumpaskan KL City 3-0, kekal rekod tanpa kalah

PETALING JAYA, 13 SEPT: Selangor FC meneruskan rentak cemerlang apabila menewaskan Kuala Lumpur City (KL City) FC 3-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini malam ini.

Skuad Gergasi Merah membuka jaringan menerusi penyerang A. Selvan pada minit ke-25 sebelum pemain import Chrigor Moraes menggandakan kelebihan enam minit selepas babak kedua bermula.

Seorang lagi pemain import, Eduardo Sosa, kemudian melengkapkan kemenangan Selangor menerusi jaringan pada minit ke-73.

Keputusan itu menyaksikan skuad kendalian Kim Pan Gon mencatat kemenangan keempat berturut-turut, sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah setakat ini.

Selangor kini menghuni tangga ketiga dengan 12 mata, sama dengan Kuching City FC di kedudukan kedua yang telah mengharungi lima perlawanan, manakala Johor Darul Ta’zim (JDT) kekal menerajui liga dengan 15 mata.

Sementara itu, di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah FC gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila tewas 1-2 kepada DPMM FC.

Pasukan pelawat membuka tirai jaringan menerusi tandukan Ebenezer Abban pada minit ke-12 sebelum Sabah menyamakan kedudukan pada minit ke-25 hasil rembatan Gonzalo Di Renzo dari dalam kawasan penalti.

Kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat babak pertama.

DPMM kembali mendahului pada minit ke-65 menerusi Jordan Murray yang melepaskan rembatan dari luar kawasan penalti untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Kedua-dua pasukan terus mencipta beberapa peluang selepas itu, namun gagal menambah jaringan sehingga wisel penamat.

Sabah dan DPMM kini masing-masing mengumpul enam mata selepas empat perlawanan, dengan kedua-dua pasukan menghuni tangga keempat dan kelima liga.

-- BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved