
MELAKA: Lima bekas Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang pernah menyatakan sokongan kepada kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini hari ini.
Tinjaun Utusan Malaysia mendapati, mereka ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal; Labuan, Datuk Indera Dr. Suhaili Abdul Rahman; Tanjong Karang, Kapten Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi; Jeli, Zahari Kechik dan Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim.
Kehadiran mereka turut disebut dalam ucapan Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh pada kongres berkenaan sebagai antara Ahli Parlimen Bebas yang menyokong kerajaan, sekali gus memperlihatkan penyertaan wakil rakyat yang mempunyai latar belakang politik berbeza dalam acara tahunan PKR itu.
“Terima kasih tidak terhingga saya ucapkan di atas kehadiran dan tanda sokongan tuan-tuan di Kongres Nasional Tahunan ini. Saya juga ingin meraikan kehadiran ahli-ahli Parlimen Bebas yang menyokong kerajaan. Yang Berhormat Bukit Gantang, Yang Berhormat Labuan, Yang Berhormat Tanjong Karang, Yang Berhormat Jeli, Yang Berhormat Gua Musang, Yang Berhormat Kota Marudu, Yang Berhormat Pensiangan. Terima kasih kerana turut hadir,” katanya hari ini.
Kelima-lima mereka sebelum ini merupakan Ahli Parlimen Bersatu sebelum keahlian mereka dalam parti berkenaan dilucutkan susulan tindakan menyatakan sokongan terbuka kepada Anwar dan kemudiannya terus menjalankan tugas sebagai Ahli Parlimen di kawasan masing-masing tanpa menyertai parti lain.
Perkembangan itu bermula apabila beberapa Ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, dengan alasan antaranya bagi memastikan peruntukan pembangunan dapat disalurkan kepada kawasan masing-masing. – UTUSAN
The post Lima bekas Ahli Parlimen Bersatu diraikan kehadiran dalam Kongres PKR appeared first on Utusan Malaysia.






