
DURIAN TUNGGAL: Ahli Parlimen yang dipilih melalui pilihan raya mempunyai tanggungjawab untuk mempertahankan mandat diberikan rakyat sehingga tamat tempoh perkhidmatan.
Naib Presiden PKR, Datuk Seri R. Ramanan berkata, kedudukan sebagai wakil rakyat tidak sama seperti jawatan lantikan kerana seseorang Ahli Parlimen memperoleh kepercayaan secara langsung daripada pengundi.
Oleh itu, beliau berkata, mandat tersebut tidak seharusnya ditinggalkan begitu sahaja meskipun seseorang wakil rakyat berdepan perbezaan pandangan atau keadaan politik tertentu.
“Bagi saya, kita ini dipilih, bukan dilantik. Kalau dilantik, tak apalah, nak kekal jawatan atau tidak, itu terpulang.
“Sebagai Ahli Parlimen, anda dipilih oleh rakyat. Rakyat beri kepercayaan mereka kepada anda dan anda buang macam itu sahaja, anda pergi. Itu sangat salah dan sangat tidak baik.
“Sama ada anda setuju dengan apa kerangka ataupun apa situasi pun anda berada di dalam, kepercayaan yang diberikan oleh rakyat kepada anda, anda tak boleh buang kepercayaan tersebut macam itu sahaja,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Karnival MYFutureJobs di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini hari ini.
Ramanan berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan supaya diwujudkan tempoh bertenang bagi Ahli Parlimen yang mahu meletakkan jawatan.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Wong Chen mengesahkan peletakan jawatan beliau sebagai Ahli Parlimen Subang dan mengumumkan keluar daripada PKR sebelum menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama), Rabu lalu.
Wong Chen turut memohon maaf kepada rakyat khususnya pengundi di Parlimen Subang kerana memilih untuk meletakkan jawatan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Beliau berkata, permohonan maaf itu bukan kerana keputusannya melepaskan jawatan sebagai wakil rakyat, sebaliknya kerana tidak menunggu sehingga PRU akan datang.
Selain Wong Chen, dua lagi bekas pemimpin PKR turut mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen iaitu Datuk Seri Rafizi Ramli (Pandan) dan Nik Nazmi Ahmad (Setiawangsa).
Mengulas lanjut, Ramanan yang juga Menteri Sumber Manusia berkata, wakil rakyat perlu berkhidmat kepada rakyat yang memilih mereka, bukan kepada parti atau mana-mana pemimpin politik.
“Apa yang kita buat ini, tugas kita adalah kepada rakyat. Perdana Menteri sendiri telah mengatakan kepada kita berpuluh-puluh kali, khususnya kepada saya, pergi turun kawasan, jaga rakyat yang ada di sana. Itu adalah tugas utama kita sebagai ahli politk.
“Rakyat yang beri kepercayaan kepada anda untuk duduk di sini. Kalau rakyat tidak beri kepercayaan kepada kita, kita tidak ada apa-apa jawatan,” katanya. –UTUSAN
The post Mandat rakyat tidak boleh ditinggalkan begitu sahaja – Ramanan appeared first on Utusan Malaysia.





