Lima cedera selepas tren laluan Kelana Jaya berhenti mengejut berhampiran Dang Wangi

Local
4 Jun 2026 • 10:26 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Lima cedera selepas tren laluan Kelana Jaya berhenti mengejut berhampiran Dang Wangi

KUALA LUMPUR, 4 JUN: Lima penumpang tren Laluan Kelana Jaya cedera apabila tren yang dinaiki berhenti secara serta-merta setelah sistem keselamatan automatik tren diaktifkan petang tadi.

Rapid KL dalam kenyataan memaklumkan insiden berkenaan melibatkan tren bernombor 62 ketika berada berhampiran Stesen Dang Wangi pada 6.07 petang.

Kenyataan itu menyebut insiden berlaku apabila sistem keselamatan automatik tren diaktifkan ketika tren sedang bergerak keluar dari stesen, menyebabkan tren berhenti secara serta-merta sebagai langkah kawalan operasi.

Menurut Rapid KL, pengaktifan sistem itu adalah sebahagian daripada ciri keselamatan tren sedia ada yang direka untuk memastikan sebarang situasi luar jangka dapat ditangani dengan segera.

“Susulan pemberhentian tren secara serta-merta, seorang penumpang yang sedang berdiri dipercayai hilang imbangan sehingga botol air yang dipegangnya terlanggar panel kaca di bahagian sisi tempat duduk. Impak berkenaan menyebabkan panel kaca itu pecah dan serpihannya terkena pada beberapa penumpang yang duduk berhampiran,” menurut kenyataan itu.

Berikutan itu, lima penumpang mengalami kecederaan dengan dua daripada mereka dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan lanjut manakala tiga lagi penumpang menerima rawatan di lokasi sebelum meneruskan perjalanan mereka.

Menurut Rapid KL, penumpang lain di dalam tren tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah diturunkan di Stesen Damai untuk meneruskan perjalanan menggunakan tren berikutnya.

Kenyataan itu menyebut, sebagai langkah berjaga-jaga dan prosedur operasi standard, tren terlibat telah dikeluarkan daripada perkhidmatan bagi membolehkan pemeriksaan teknikal menyeluruh dilaksanakan dengan lebih terperinci.

Perkhidmatan Laluan Kelana Jaya beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh pengendalian insiden berkenaan, namun terdapat pelarasan pada kekerapan tren di beberapa lokasi sementara tren yang terlibat dibawa keluar daripada perkhidmatan.

Rapid KL telah memulakan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca insiden dan akan terus memastikan tahap keselamatan serta keselesaan penumpang sentiasa diberi keutamaan.

“Penumpang dinasihatkan supaya sentiasa berpegang pada pemegang tangan dan berada dalam kedudukan stabil sepanjang perjalanan, khususnya ketika tren sedang bergerak atau menghampiri stesen,” menurut kenyataan itu.

View Original Article