Lima dron kesan mangsa kepala air Sungai Pertak

11 Nov 2026 • 3:25 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Lima dron kesan mangsa kepala air Sungai Pertak

HULU SELANGOR – Lima unit dron milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) diatur gerak dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga lelaki warga asing yang hilang susulan kejadian kepala air berhampiran Tapak Berkelah Sungai Pertak di sini.

Penolong Penguasa Bomba (Unit Bahagian Udara) JBPM Muhammad Alif Abdul Ghani berkata penggunaan dron dimulakan pada 2 petang semalam dan diteruskan hari ini dengan tinjauan kawasan permukaan bermula pukul 8 pagi hingga 7 malam ini.

Beliau berkata, setiap dron yang mampu beroperasi selama kira-kira 45 minit bagi satu sesi penerbangan, dapat membantu pencarian di kawasan terlindung dan memberikan gambaran lebih jelas terhadap permukaan kawasan yang diperiksa.

“Penggunaan bot dan anggota secara fizikal agak terhad berikutan terdapat kawasan yang tidak dapat diakses, jadi penggunaan dron dapat membantu mempercepatkan pencarian,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Katanya, SAR melibatkan empat sektor pencarian bermula lokasi mangsa dilaporkan hanyut akibat arus deras hingga ke Jambatan Pertak dan Empangan Sungai Selangor.

Dalam pada itu, Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, usaha mencari baki tiga mangsa masih belum membuahkan hasil setakat 12 tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang Isnin lepas, lapan individu masing-masing seorang warga tempatan, Yaman, Sri Lanka, Nepal dan empat warga India dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras.

Semalam, lima mangsa ditemukan lemas terdiri daripada warga tempatan V. Vijayan, 36, warga Nepal yang dikenali sebagai Kapali, 49, dan B. Kunjanmalayil, 35, warga India manakala dua lagi mangsa yang belum dikenal pasti identitinya ialah lelaki warga India dan Sri Lanka. – Bernama

The post Lima dron kesan mangsa kepala air Sungai Pertak appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved