
MOSCOW: Lima hospital di Siberia, Russia, ditutup dan diletakkan di bawah kuarantin selama sekurang-kurangnya tiga minggu susulan kemungkinan penularan wabak Maut Hitam yang muka merebak ke seluruh Eropah.
Menurut laporan media bebas Baikal People, hospital di wilayah Irkutsk ditutup selepas juruteknik makmal, Darya Shipilova, 28, meninggal dunia akibat bentuk wabak yang tidak dikenal pasti.
Shipilova dilaporkan meninggal dunia selepas memecahkan tabung uji yang mengandungi bakteria hidup Yersinia pestis, iaitu bakteria penyebab wabak tersebut.
Laporan itu turut mendakwa penutupan hospital berkenaan dilakukan sebagai langkah kuarantin bagi mencegah kemungkinan penularan wabak tersebut.
Kejadian itu berlaku di Institut Antiwabak Irkutsk pada 25 September ketika mangsa mengendalikan sampel, dan kini kebimbangan penularan meningkat apabila jumlah hospital yang ditutup bertambah daripada satu kepada lima.
Arahan pemakaian pelitup muka turut dikuatkuasakan di sebuah kilang aluminium besar di Irkutsk, sama seperti langkah yang diperkenalkan di United Kingdom (UK) ketika pandemik Covid-19.
Beberapa ahli politik Amerika Syarikat (AS) kini menggesa penerbangan komersial dari dan ke Russia dihentikan sehingga keadaan sebenar dapat dikenal pasti.
Gejala awal wabak pes pulmonari lazimnya muncul antara empat hingga tujuh hari selepas terdedah kepada jangkitan. Ketika ini, kira-kira 200 individu dipercayai sedang dipantau.
Antara hospital yang terjejas ialah Hospital Klinikal Bandar No. 1, 3 dan 10, selain Hospital Klinikal Kanak-kanak Bandar Ivano-Matreninskaya.
Memetik sumber dalam sektor kesihatan, Baikal People melaporkan doktor di Irkutsk sudah mula bercakap secara terbuka mengenai wabak tersebut.
Menurut laporan media, pihak berkuasa kesihatan di wilayah Irkutsk mengesahkan hampir 200 orang kini berada di bawah pemantauan perubatan.
Mereka yang ditempatkan di hospital terbabit juga tidak dibenarkan keluar atau menerima kunjungan daripada ahli keluarga.- AGENSI
The post Lima hospital dikuarantin susulan wabak Maut Hitam appeared first on Utusan Malaysia.




