
SEREMBAN – Seorang lagi pelajar tampil mendedahkan pernah menjadi mangsa buli suspek pertama berusia 16 tahun , menjadikan keseluruhan lima pelajar susulan kes kematian di sebuah sekolah di Kuala Pilah, Jumaat lalu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, siasatan setakat ini tidak menemukan sebarang tangkapan baharu selain dua pelajar lelaki berusia 16 tahun yang masing-masing dikenal pasti sebagai suspek pertama dan kedua.
“Suspek pertama direman dari 26 September hingga 1 Oktober, manakala suspek kedua dari 28 September hingga 3 Oktober. Perkembangan sama ada reman suspek pertama akan disambung atau sebaliknya akan dimaklumkan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, hari ini.
Alzafny berkata, setakat ini seramai 69 saksi telah direkodkan keterangan, membabitkan 53 pelajar, empat guru, tiga warden, enam ibu bapa, dua doktor dan seorang jurulatih tinju.
Katanya, hasil bedah siasat terhadap mangsa masih belum dapat menentukan punca kematian dan sampel telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis.
Dalam pada itu, beliau berkata, siasatan mendapati suspek pertama dan kedua serta mangsa adalah rakan sekelas bagi aktiviti sukan memanah.
“Siasatan awal mendapati suspek kedua telah menyepak mangsa sebanyak enam kali ketika pertemuan pertama sebelum memanggil mangsa untuk berjumpa dengan suspek pertama,” katanya.
Alzafny sebelum ini memaklumkan mangsa telah dipukul di bahagian kaki menggunakan getah paip serta dipukul menggunakan tangan di bahagian badan sebelum mangsa terjatuh.
Sabtu lalu, media melaporkan Muhammad Idlan Fareeq, 14, dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) sebelum disahkan meninggal dunia di hospital berkenaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE
The post Maut dibuli: Dua suspek, mangsa rakan kelas memanah appeared first on Kosmo Online.






