Lima individu termasuk jururawat direman bantu siasatan jual beli MC palsu

16 Jun 2026 • 12:39 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Lima individu termasuk jururawat direman bantu siasatan jual beli MC palsu

SHAH ALAM, 16 JUN: Lima individu termasuk seorang jururawat direman antara tiga hingga empat hari bagi membantu siasatan berhubung kegiatan penjualan dan pembelian sijil cuti sakit (MC) palsu di daerah Pekan, Pahang.

Perintah reman terhadap lima suspek membabitkan tiga lelaki dan dua wanita berusia antara 30 hingga 55 tahun itu dibenarkan Majistret Melody Woon Sze Mun.

Kesemua suspek ditahan polis dalam operasi berasingan antara jam 3 petang hingga 10 malam semalam di beberapa lokasi sekitar daerah itu.

Difahamkan, tangkapan itu membabitkan individu yang dipercayai berperanan sebagai orang tengah, seorang jururawat serta seorang pembeli sijil cuti sakit palsu berkenaan.

Siasatan dijalankan susulan kegiatan penjualan MC palsu yang dipercayai menggunakan identiti seorang pegawai perubatan kerajaan tanpa kebenaran.

Polis turut menyiasat kemungkinan penglibatan pihak lain dalam rangkaian kegiatan berkenaan bagi mengenal pasti sejauh mana sindiket itu beroperasi, lapor Harian Metro.

Kes disiasat mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan kerana pemalsuan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Selain itu, mereka turut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang membawa hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun serta sebatan jika disabitkan kesalahan.

Semalam, media melaporkan polis menahan tiga individu kerana disyaki menjual sijil cuti sakit palsu menggunakan nama seorang pegawai perubatan kerajaan.

Siasatan awal mendapati sijil cuti sakit berkenaan menggunakan nama, cop dan tandatangan seorang pegawai perubatan, namun doktor terbabit tidak lagi bertugas di fasiliti kerajaan berkenaan sejak 2023.