5 Individu Termasuk Jururawat Direman Jual MC, Berdepan Hukuman Penjara

16 Jun 2026 • 12:58 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

syaz ft 2026 06 16T125756.598

Lima individu termasuk seorang jururawat ditahan reman antara tiga hingga empat hari bagi membantu siasatan berhubung sindiket penjualan dan pembelian sijil cuti sakit (MC) palsu di daerah Pekan, Pahang.

Perintah reman terhadap kesemua suspek yang berusia antara 30 hingga 55 tahun, melibatkan tiga lelaki dan dua wanita itu, dikeluarkan oleh Majistret Melody Woon Sze Mun.

Menurut laporan Harian Metro, tangkapan dilakukan oleh pihak polis di beberapa lokasi berasingan antara jam 3 petang hingga 10 malam semalam. Selain jururawat dan individu yang bertindak sebagai orang tengah, polis turut menahan seorang individu yang dipercayai membeli sijil cuti sakit berkenaan.

Siasatan awal mendapati sindiket tersebut menggunakan nama, cop, serta tandatangan seorang pegawai perubatan kerajaan. Bagaimanapun, semakan mengesahkan doktor terbabit tidak lagi bertugas di fasiliti kesihatan kerajaan berkenaan sejak tahun 2023.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan kerana pemalsuan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Selain itu, kesemua suspek turut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang membawa hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun serta sebatan dan denda sekiranya didapati bersalah.

Terdahulu, media melaporkan mengenai pembongkaran aktiviti licik tiga individu yang dikesan aktif menjual sijil cuti sakit palsu dengan mengeksploitasi identiti pegawai perubatan kerajaan terbabit.

Sumber: Harian Metro

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.