GUA MUSANG - Hujan lebat berterusan sejak malam tadi hingga awal pagi Ahad menyebabkan lima kawasan di jajahan ini iaitu Renok Baru A, Sungai Asap, Kampung Baru Jeram Tekoh, Taman Agropolitan Rantau Manis dan Felda Perasu ditenggelami air.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Gua Musang, Leftenan Mohd Hanafi Mohd Bokri berkata, susulan kejadian itu seramai 19 mangsa telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram Tekoh, Dewan Zon 3 dan Masjid Jeram Tekoh.
"Hujan lebat berterusan bermula jam 9 malam Ahad menyebabkan kawasan rendah di sekitar jajahan ini mulai ditenggelami air.
**media[3652944]**
"Bagaimanapun keadaan masih terkawal serta laluan utama di Gua Musang masih boleh dilalui oleh semua kenderaan. Kecuali satu jalan menghala ke Ciku 7 yang terpaksa ditutup kepada kenderaan ringan," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Menurut beliau, pemantauan sentiasa dibuat oleh APM bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Jajahan Gua Musang.
Ujarnya, orang ramai yang tinggal di kawasan rendah dinasihatkan agar bersiap sedia serta sentiasa mengikuti perkembangan semasa dan mengikut arahan yang diberikan.
"Orang ramai juga dinasihatkan agar menjaga keselamatan dan elak melakukan aktiviti yang membahayakan diri terutama di kawasan dinaiki air," katanya.






